Senarai calon PH dah dimuktamadkan, kata Anwar
PRU15 | Anwar Ibrahim berpendapat tiada keperluan untuk parti itu mengkaji semula calon yang akan bertanding di kerusi parlimen Sungai Buloh walaupun selepas BN dan PN mengumumkan calon masing-masing malam tadi.
Presiden PKR itu berkata, setakat ini senarai calon yang disediakan parti terbabit dianggap sudah selesai.
Pun begitu Anwar membayangkan keterbukaannya untuk berbincang dengan pemimpin lain dari parti komponen jika mereka berada ada keperluan berbuat demikian.
“Setakat ini, (senarai calon PH) sudah selesai, tetapi sudah tentu saya akan berunding dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, sekiranya (mereka mahu menyemak semula).
"Tetapi saya tidak nampak akan ada sedikit perubahan kecil berdasarkan pengumuman BN," katanya.
Pagi tadi Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, dia akan berbincang dengan Anwar mengenai calon PH di Sungai Buloh ekoran "maklum balas pengundi-pengundi" di kawasan berkenaan.
Ia berlaku selepas BN mengumumkan mereka akan diwakili Khairy Jamaluddin untuk kerusi tersebut. Bekas ketua Pemuda Umno itu memiliki imej yang tinggi selepas dilihat berjaya menguruskan isu pandemik Covid-19, sama ada ketika dia menjadi menteri sains, teknologi dan inovasi, atau sebagai menteri kesihatan kemudiannya.
Rafizi bagaimanapun menegaskan, keputusan akhir terletak di tangan Anwar selaku presiden.
Pada sidang media Anwar di Klang, Selangor hari ini, pengerusi PH itu berkata senarai calon gabungan terbabit sudah dimuktamadkan.
Kenyataan itu disokong Loke yang turut hadiri pada sidang media berkenaan.
"Buat masa ini, kami sudah muktamadkan dari segi calon," katanya.
PKR - yang mewakili PH - bercadang menurunkan bekas bendahari agung MIC, R Ramanan, bagi menggantikan peguam R Sivarasa yang digugurkan.
Sivarasa memenangi kerusi Sungai Buloh sejak 2008.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai