Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden MIC, MCA bertembung isu siapa bertanding di Batu

Presiden MIC Sa Vigneswaran menolak kenyataan Presiden MCA Wee Ka Siong bahawa MCA yang akan bertanding di kerusi Parlimen Batu dalam PRU15.

Vigneswaran berkata, sebarang pengumuman berkenaan kerusi yang ditandingi BN perlu dibuat hanya oleh pengerusi gabungan, Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya tak tahu dia (Wee) cakap tentang Batu mana. Calonnya Kohilan Pillay (di kerusi itu).

"Apa yang peling penting, pengumuman perlu datang dari pengerusi BN. Jika Wee nak buat sebarang (perubahan), dia perlu berbincang dengan pengerusi BN," katanya dalam sidang media hari ini.

Sidang media itu dibuat selepas mesyuarat tergempar jawatankuasa kerja pusat MIC yang berjalan selama kira-kira dua jam, bagi membincangkan penyertaannya dalam PRU15.

Terdahulu, MIC dilaporkan sedang menimbang untuk tidak meletakkan sebarang calon dalam PRU15 kerana tidak puas hati berkenaan pengagihan kerusi.

Ketika acara pengumuman calon BN semalam Zahid pada mulanya mengumumkan A Kohillan Pillay dari MIC sebagai calon di Batu.

Namun, Wee hari ini dilaporkan berkata partinya yang akan bertanding di situ dan bukannya MIC - keputusan yang dibuat selepas berbincang dengan Zahid semalam.

MIC tidak hadir ke acara semalam. Zahid dan Vigneswaran berkata ia kerana barisan pemimpin MIC ada mesyuarat ketika itu.

Hari ini Vigneswaran menegaskan sudah terlewat untuk membuat perubahan dalam pengagihan kerusi memandangkan calon telah diumumkan.

Ketika ditanya jika dia ada berhubung dengan Zahid selepas acara semalam, Vigneswaran berkata dia bercakap dengan presiden Umno itu pagi ini.

"Anda fikir saya tak berhubung dengan dia?" katanya lagi.