Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Calon BN sandarkan pada pengalaman bantu Najib di Pekan

Calon BN menggantikan Najib Razak di Pekan Sh Mohamed Puzi Sh Ali menyifatkan pemilihannya sebagai tanggungjawab berat.

Bagaimanapun, dia berharap kerusi itu dapat dipertahankan dengan majoriti besar dalam pilihan raya umum kali ini.

Daripada segi gerak kerja pula, dia tidak melihat masalah yang besar kerana pernah menjadi pegawai Najib–bekas perdana menteri yang sedang merengkok di penjara atas kesalahan rasuah.

"Bagi saya mudah saja, dari segi gerak kerja kerana saya pernah bekerja bersama Datuk Najib semasa beliau menjadi PM dan ketika itu saya salah seorang pegawai yang menjaga hal ehwal Pekan.

Najib Razak

"Jadi semua gerak kerja ketika itu dan sehingga saya jadi Adun (Peramu Jaya) selama dua penggal, semuanya saya telah tanam dan disematkan dalam dada saya.

"Insya-Allah segala perancangan, segala usaha akan diteruskan untuk memantapkan lagi perkara sewajarnya di parlimen Pekan," katanya lagi.

Sh Mohamed Puzi Sh Ali dipilih sebagai calon Pekan manakala DUN disandangnya ketika ini diserahkan kepada anak Najib, Mohd Nizar.

Mohamed Puzi adalah calon pertama BN yang bukan daripada keluarga Najib dalam tempoh 63 tahun di Pekan.

Kerusi itu ‘diperturunkan’ daripada perdana menteri kedua Razak Hussein kepada Najib pada tahun 1976.

Sementara itu, mengulas isu legasi keluarga Najib, Mohamed Puzi berkata ia tidak menjadi isu kerana Mohd Nizar masih bertanding di DUN bawah Pekan.

"Itu bukan isu sebabnya walaupun saya bertanding di parlimen tetapi anaknya masih ada di Peramu Jaya, iaitu bawah parlimen P085 juga (parlimen Pekan)," katanya.

Ketika ditemui selepas majlis pengumuman calon BN Pahang di Kuantan, hari ini, dia juga ditanya berkaitan kemungkinan berlaku pertembungan banyak penjuru di kerusi Pekan.

"Kita mudah saja, kita di negara demokrasi jadi bila sebut negara demokrasi masing-masing berhak untuk bertanding," katanya.