Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KOLUM | Muda dari kepala ke kota, dua tanjung

Seorang anak muda akan hanya teruji menjadi dewasa apabila dilemparkan dalam kancah dugaan dan ujian. Saya selalu memberitahu secara senyap kepada Muda bahawa Muda harus lebih daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. 

Maka, apabila calon-calon Muda (selain Saddiq) dikerah menentang bekas menteri-menteri dari kerajaan yang tertegak bukan oleh pilihan pengundi PRU14, saya percaya Muda sedang menyahut cabaran itu dengan lasak sekali.

Memang terlalu gila mendorong anak-anak Muda berdepan dengan orang-orang tua yang mempunyai sejarah geli-geleman dalam politik negara. Akan tetapi ia juga mungkin satu strategi yang luar biasa. 

Pertamanya, memang Muda cuba membuktikan, mereka bukan sekadar Syed Saddiq. Untuk itu mereka mengedepankan empat orang (setakat ditulis masih empat) di Kepala Batas, Tanjung Karang, dan Tanjung Piai. Serta di Kota Marudu, Sabah.

Muda yang pertama ialah Danial Abdul Majeed, 26 tahun, mungkin beliau akan berdepan dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Reezal Merican Naina Merican. Reezal adalah bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan. Di parlimen Kepala Batas. 

Memang ada sejarah silam berkaitan politik beliau sedang disiasat oleh netizen, tetapi persepsi dan rasa yakin enam tujuh tahun lalu saya percaya tidak dapat memadam bara hari ini. Sebabnya, beriman kepada parti politik tertentu bukanlah satu kepercayaan sakral. 

Orang Muda kedua, seorang srikandi yang disebut-sebut akan melawan pengerusi perhubungan Umno Selangor, Noh Omar iaitu bekas menteri pembangunan usahawan dan koperasi. 

Pesaing dari Muda adalah Cikgu Rahayu, seorang aktivis sosial dan pendidikan yang amat terkenal di Chow Kit. Beliau adalah pengasas bersama dan naib presiden Muda. Cikgu Rahayu mungkin akan menggasak Noh di Tanjung Karang.

Muda ketiga, yang akan menentang Wee Jeck Seng, mantan timbalan menteri perusahaan perladangan dan komoditi di kerusi parlimen Tanjung Piai ialah Lim Wei Jiet, juga pengasas bersama parti Muda dan merupakan ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda. 

Wee Jeck Seng memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya kecil (PRK) 2019. Beliau pernah tewas dengan majoriti tipis 524 undi kepada Allahyarham Dr. Md. Farid Md. Rafik.

Muda paling segar menurut saya ialah Shahrizal Denci di parlimen Kota Marudu untuk melawan penyandangnya, Maximus Ongkili. Shahrizal dan Rahayu mungkin tidak dapat didefinisikan Muda dari segi umur, akan tetapi bisa saja ditanggap muda dari segi pengalaman berpolitik. Akan tetapi kesegaran Shahrizal mungkin juga kerana beliau mengerjakan tanah seluas 20 ekar yang terletak di Kundasang, Sabah. Sebagai petani moden Shahrizal, bekas penuntut Universiti Malaysia Perlis dalam jurusan Kejuruteraan Komputer telah menunjukkan bahawa dirinya bukan petani biasa, bahkan seorang agropreneur. 

Bukan sekadar Syed Saddiq

Sudah tentu mereka berdepan tugasan atau kerja besar. Sudah tentu bukan kerja mudah. Tetapi pertama-tamanya, untuk masyarakat terbanyak, Muda telah menyatakan bahawa Muda bukan sekadar Syed Saddiq.

Keduanya, calon-calon Muda ini muncul secara generik dari komuniti atau kelompok tertentu. Masing-masing membawa gagasan dan idea besar masa depan dalam lapangan minat mereka. Cikgu Rahayu misalnya mengasuh anak-anak terbiar di tengah bandar. Shahrizal mengenal sebenar-benar derita petani. 

Pengalaman mereka tentu akan dibawa dalam kancah politik. Tentu untuk menawan parlimen yang mereka tandingi bukan sangat dengan ceramah. Pengundi mereka adalah pengundi pedalaman. 

Strategi mereka tentu sahaja bukan sangat melaung dan meneriakkan isu atau topik seperti kenaikan kos sara hidup, atau skandal korupsi demi korupsi yang mengaibkan negara. 

Isu mereka adalah isu sekitar diri mereka. Iaitu sekitar apa yang pernah mereka kerjakan. Kemudian bagaimana mempakej isu dan pengalaman kecil mereka itu ke medan besar iaitu pada masyarakat pengundi yang kecil dan terkepung. 

Sayugia diingat, pengundi mereka adalah tergolong dalam pengundi luar bandar. Iaitu 30 peratus dari populasi negara yang akan menentukan segala polisi di Putrajaya. 

Cabaran mereka ini ialah memberitahu pengundi setempat mengapa topik atau subjek kegemaran mereka itu mesti diketengahkan ke peringkat nasional, iaitu ke Dewan Rakyat. Mereka mesti menjelaskan mengapa kehadiran mereka itu akan menjadi nilai tambah di peringkat nasional. 

Tambahan pula kempen mereka itu amat sulit kerana mereka perlu berdepan dengan naratif besar parti-parti bertanding dari gabungan pemerintah iaitu Bersatu, PAS, Umno, GRS dan lain-lain.

Pilihan yang ada pada Muda ini ialah dengan merampas naratif perdana calon saingan, dan heret mereka ke sub naratif paling asas. Iaitu kisah peribadi mereka sendiri. Kita mahu mendengar kisah juang, kisah kalah sebelum berjaya. Kisah-kisah seperti itu sangat motivasional sifatnya. 

Naratif itu tidak ada pada calon lawan yang tumbuh lalang dalam politik. Justeru calon Muda mesti menjadi tumbuh ubi yang berisi. Tidak mustahil pengundi yang muak dengan orde politik tua akan membuat pilihan jernih iaitu memilih orde politik muda. Apa yang Muda perlu lakukan ialah menerokai kelemahan untuk digalang ganti sebagai kekuatan. 

Persetankan data lalu

Ketiga, di sebalik nasib Muda yang terlempar untuk bertanding melawan gergasi-gergasi politik, mereka masih berpeluang membuat kejutan. Persetankan data pilihan raya lalu. Pengundi adalah manusia. Dan manusia berubah. Memang masa yang ada terlalu singkat untuk mendidik pengundi agar membuat perubahan di kawasan yang mereka tandingi. 

Akan tetapi dengan hanya empat kerusi (setakat ditulis masih empat) Muda, mereka boleh menggerakkan dan memobilisasi ahli keempat kawasan parlimen ini untuk bekerja. 

Dengan hanya empat, tenaga muda Muda boleh menjangkau pengundi desa yang over-represented ini. Muda tidak memerlukan ceramah di kawasan-kawasan ini. Apa yang mereka perlukan ialah kemahiran membujuk dengan menghantar ketumbukan Muda supaya menggempur pintu ke pintu, pagar ke pagar, batas sawah ke batas sawah, jeti ke jeti, atau kebun ke kebun.

Terakhir sekali, sesuatu yang besar dan agam selalunya jatuh tersungkur dek sesuatu yang lebih kecil dan seni. Manusia tumbang kerana virus dan kuman yang tidak kelihatan. Namrud terbenam oleh serangga. Muda tidak perlu memomokkan tua. 

Muda hadir untuk menghormati tua dan datang ke kawasan desa itu demi memberitahukan mereka, Muda sudah mula.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.