Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Menunggu bah BN melanda kita semua

ULASAN | Kemaraan BN ibarat awan gelap yang hanya menanti masa untuk menurunkan hujan lebat yang menenggelamkan kita semua. Kemaraan ini hampir mustahil untuk dibendung lagi.

Parit-parit untuk mengalirkan air hujan agar banjir dapat dielakkan terus tersumbat dan parit-parit ini gagal dibersihkan. Kolam-kolam yang sepatutnya digunakan untuk menadah air hujan agar tidak banjir, semakin cetek dan tugas mendalamkannya, terbengkalai.

Saya harap analogi ini dapat memberi gambaran kepada pembaca betapa banjir besar iaitu kemenangan BN ini agak hampir mustahil dapat dielakkan.

Saya percaya ramai yang sudah menyedari akan hal ini, lebih-lebih lagi para pengundi. Mereka sedang memerhatikan gelagat blok-blok politik yang terus angkuh untuk menewaskan BN.

Jemputan Dr Mahathir Mohamad diperlekeh oleh semua pihak. Ini memang sudah dijangkakan dari awal dan kita tidak pernah kecewa menghadapi semua perlecehan ini. Ini politik, tidak semua orang memahami apatah lagi bersetuju dengan kita.

Muhyiddin Yassin berjaya diketepikan dengan jalan yang sama iaitu pengkhianatan ahli parlimen Umno. Anwar Ibrahim juga berjaya ditipu menerusi SD (akuan bersumpah) untuk menyokongnya menjadi perdana menteri.

PN dan PH sama-sama ditipu oleh Umno.

Kedua-dua penipuan ini berlaku ketika Umno-BN belum lagi mempunyai kuasa penuh dalam kerajaan. Bayangkanlah jika mereka ada kuasa lebih sedikit daripada hari ini, pasti semua akan dimakannya mentah-mentah. Tak kiralah Anwar Ibrahim ke, Haji Hadi ke, Muhyiddin Yassin ke.

PN dan PH ketawa terbahak-bahak terhadap pelawaan Dr Mahathir. Namun, pihak yang sangat gembira dengan perlecehan PN-PH ini ialah BN. Merekalah yang akan mendapat untung besar kerana blok-blok ini tidak mampu bekerjasama lagi. PN-PH ibarat longkang yang dibiarkan tersumbat agar banjir akan lebih cepat menenggelamkan kita semua.

Awan semakin mendung dan berat isinya. Hanya menunggu masa untuk memuntahkan hujan dan menenggelamkan kita semua.

Justeru apa pilihan yang kita ada?

Bagi saya, jika ini yang berlaku biarlah BN menang dan penjenayah dibebaskan untuk kembali ke tampuk kuasa. Apabila ini berlaku BN akan menghancurkan ekonomi negara ini, rekod telah menunjukkan di mana hutang sia-sia berbillion ringgit 1MDB terpaksa kita semua tanggung.

Naratif yang kita bina tidak lagi ada harga. Maka biarlah bah melanda, menghabis dan meranapkan warisan yang kita bina ini, kita reda jika itu pilihan anda semua.

Hanya dengan hancurnya ekonomi negara ini, mungkin rakyat akan sedar bahawa memiliki pemimpin yang amanah, tidak boleh dibeli dengan wang yang murah harganya.


MAHDZIR IBRAHIM ialah timbalan ketua penerangan Gerakan Tanah Air.

Tulisan ini tidak semestinya mencermikan pendirian Malaysiakini.