DAP pertaruh Fatin Zulaikha di kubu kuat BN, Mersing
DAP mengumumkan bahawa Fatin Zulaikha Zaidi akan bertanding di kerusi Parlimen Mersing pada PRU15.
Berasal dari Johor Bahru, Fatin Zulaikha, 29, merupakan pegawai khas kepada Adun Johor Jaya Liow Cai Tung sejak 2018 sehingga kini dan mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Kajian Politik dan Pemerintahan).
Mengumumkan perkara itu dalam majlis pengumuman calon di Skudai malam tadi, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata Fatin Zulaikha ialah calon wanita Melayu ketiga yang ditampilkan oleh parti itu untuk bertanding pada PRU15 selepas Young Syefura Othman (Bentong) dan Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera).
Dia turut mengumumkan bahawa pengerusi DAP Johor yang juga Adun Perling Liew Chin Tong akan bertanding di kerusi Parlimen Iskandar Puteri menggantikan penyandangnya, Lim Kit Siang.
Penyandang lain yang akan mempertahan kerusi masing-masing ialah bekas Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching di Parlimen Kulai dan Wong Shu Qi (Kluang).
Loke turut mengesahkan bahawa parti itu akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen di Johor yang membabitkan empat calon lelaki dan tiga calon wanita.
Sebelum ini, bekas Adun Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali diumum bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam manakala Pang Hok Liong mempertahan kerusi Labis dan bekas Adun Skudai Tan Hong Pin di Bakri.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai