Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Tak kena Azmin banding Langkah Kajang, PD dengan Langkah Sheraton'

Adun PKR Kebun Bunga Jason Ong Khan Lee membidas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali kerana membuat perbandingan yang tidak kena.

Ini apabila bekas pemimpin PKR itu membandingkan Langkah Sheraton dengan gerakan politik Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil (PRK) Kajang dan Port Dickson sebagai "pengkhianatan mutlak."

Ong berkata Langkah Sheraton merupakan peristiwa suatu kerajaan yang dipilih secara demokratik digulingkan melalui pembelotan di kalangan ahli parlimen, yang membawa kepada ketidakstabilan politik beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebaliknya, Ong (gambar, bawah) berkata PRK Kajang dan Port Dickson melibatkan usaha mendapatkan mandat rakyat.

“Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang dan Port Dickson bertujuan dan dirancang untuk membolehkan seorang pemimpin yang berkebolehan, berani, reformis dan berwawasan berada dalam kedudukan menerajui kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan sambil mengekalkan kedua-dua kerusi itu di bawah pemerintahan Pakatan Harapan.

"Ini dilakukan secara demokratik dengan pengundi boleh menolak calon sekiranya mereka mahu, melalui peti undi," katanya.

Ong merujuk wawancara Azmin dengan Astro Awani yang disiarkan pada 25 Okt lalu.

Azmin bangkitkan 'pengkhianatan' PKR

Azmin menuduh PKR "mengkhianati" pengundi dengan memaksa ahli parlimen yang sedang berkhidmat meletak jawatan, bagi membuka jalan kepada pilihan raya kecil Kajang dan Port Dickson masing-masing pada 2014 dan 2018.

Dalam kedua-dua keadaan, calon PKR - Dr Wan Azizan Wan Ismail dan Anwar Ibrahim masing-masing - mengekalkan kerusi untuk parti itu dengan meraih undi yang meyakinkan.

“Langkah Kajang adalah satu pengkhianatan mutlak, yang mana wakil rakyatnya masih hidup, masih berkhidmat, dipilih oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU), tetapi oleh kerana nafsu serakah seseorang, maka dia dipaksa meletak jawatan bagi membolehkan beliau menjadi Menteri Besar Selangor ketika itu.

“Begitu juga episod yang berlaku di Port Dickson. Wakil rakyatnya terpaksa meletakkan jawatan kerana memenuhi nafsu serakah seseorang yang mahu menjadi Perdana Menteri. Apakah ini bukan pengkhianatan namanya," soal Azmin.

"Namun, mereka terpaksa berundur untuk memenuhi kerakusan seseorang yang mahu menjadi perdana menteri. Bukankah itu pengkhianatan?" tanya Azmin.

Pun begitu, Azmin meraih manfaat daripada perebutan kuasa di Selangor dan dilantik sebagai menteri besar pada September 2014.

Bagi Langkah Sheraton pula, keputusan Bersatu dan 10 ahli parlimen PKR yang diketuai Azmin berpaling tadah daripada PH pada Februari 2020 meruntuhkan pentadbiran PH untuk membentuk kerajaan baru bawah teraju Muhyiddin Yassin.