Dicabar PKR, Azmin tunjuk kekuatan di Gombak
Penyandang ahli Parlimen Gombak Azmin Ali 'memulangkan paku buah keras' selepas lawannya daripada PKR dalam pilihan raya umum akan datang diumumkan.
Penggantinya sebagai menteri besar Selangor dan bekas anak didiknya Amiruddin Shari akan bertanding mewakili PH menentangnya di kerusi parlimen Gombak.
Azmin mendakwa menteri besar Selangor itu hanya diberikan kerusi itu sebagai ‘proksi’ – yang sebelum ini dikhabarkan sebagai pertarungan antara Azmin dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
"Saya pun tidak faham bagaimana Gombak menjadi tumpuan seluruh dunia. Nama-nama besar yang cuba mengintai Gombak dan memecahkannya.
"Saya juga mengalu-alukan mereka yang ingin datang ke Gombak. Yang nak hantar anak, isteri, tapi kalau boleh bawa diri ke Gombak, nah tiba-tiba dia lari ke Perak,” katanya merujuk kepada pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan bekas bosnya dalam PKR (Anwar).
"Apabila saya dapat tahu siapa calon mereka (semasa pengumuman PKR 28 Okt lepas), dia (Amiruddin) tak berapa besar.
“Dia datang ke Gombak kerana terpaksa berperang dengan 'perang proksi'," katanya.
Azmin berkata demikian ketika berucap melancarkan jentera Perikatan Nasional (PN) Gombak di Padang Taman Pinggiran Batu Caves, Selangor, malam tadi.
Menjelang PRU15 , Anwar telah menyatakan hasrat peribadinya untuk berpindah dari Port Dickson dan bertanding di kerusi yang kini disandang oleh "pengkhianat".
Ini termasuk kerusi seperti Gombak, Ampang, Batu Pahat, dan Segamat antara lain.
Anwar kemudiannya diumumkan untuk bertanding bagi kerusi parlimen Tambun di Perak.
Semasa pengumuman calon 28 Okt, PKR mengumumkan bahawa anak presidennya Nurul Izzah Anwar, akan mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh, manakala isteri Anwar, Wan Azizah Wan Ismail akan bertanding di Bandar Tun Razak.
Azmin yang juga bekas timbalan presiden PKR sebelum ini mengetuai sembilan ahli parlimen parti itu yang berpaling tadah untuk menyertai Bersatu semasa Langkah Sheraton pada 2020.
Sementara itu, dia juga menegaskan bahawa pemimpin yang sebenar sering diuji ketika dalam sesuatu krisis.
"Sebab itu kami dalam PN menolak pilihan raya umum ke-15 diadakan kerana keadaan negara sedang dalam proses pemulihan," katanya.
Pada 6 Okt, sebelum pembubaran parlimen, 12 kabinet daripada PN memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tidak membenarkan pilihan raya tahun ini kerana risiko banjir.
Penyandang parlimen Gombak itu juga mengulas secara ringkas berhubung penduduk kawasan pilihan raya itu yang berbilang kaum dan agama.
Azmin dalam ucapannya, turut menyentuh label ‘pengkhianat’ yang dilabelkan kepadanya dan orang lain yang keluar daripada kerajaan PH.
Selain itu, dia menegaskan kepada hadirin kepentingan mengundi pada hari pengundian 19 November.
"Namun, kerana kerakusan politik, rakyat terpaksa mengundi dan sekiranya mereka memilih kerajaan yang tergesa-gesa, perlu ada pendapat orang lain untuk membuat keputusan," ujar Azmin.
Pada PRU14 lalu Azmin memenangi kerusi itu dengan majoriti 48,721 undi menewaskan calon BN Abdul Rahim Pandak dan PAS diwakili Khairil Nizam Khirudin.
Kerusi Gombak ketika itu terdiri daripada 77 peratus pengundi Melayu, diikuti 11 peratus Cina, 11 peratus India, dan satu peratus yang lain.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai