Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Adam Adli optimis diterima pengundi

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abdul Halim optimis diterima pengundi Parlimen Hang Tuah Jaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang mengakui memang ada keresahan dalam kalangan akar umbi PKR cabang berkenaan selepas namanya diumum bakal calon menggantikan penyandang, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, yakin perkara itu akan diterima penyokong parti itu.

"Ia adalah perkara biasa dan memang sudah dibincangkan di peringkat dalaman parti. Siapa yang hendak dijadikan calon, itu memang sentiasa dibincangkan, dan semua orang ada pendapat serta pandangan masing-masing," katanya selepas program Jelajah Hang Tuah Jaya di Pasar Bukit Baru di Melaka, semalam.

Kelmarin, Adam Adli diumumkan bertanding di Parlimen berkenaan menggantikan Shamsul Iskandar yang ditugaskan Pakatan Harapan (PH) untuk mencabar Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen Bagan Datuk.

Selaku calon muka baru, Adam Adli turut mengakui bertanding di Parlimen Hang Tuah Jaya bukan sesuatu yang mudah memandangkan ia pernah menjadi kubu kuat Barisan Nasional.

"Saya tahu kawasan dan sejarah bahagian ini macam mana, tapi ia satu permulaan yang baik untuk saya yang kali pertama menyertai pilihan raya dan bertanding di Parlimen ini,” katanya.

- Bernama