ULASAN | DUN Changkat Jong: 'Orang tamak selalu rugi'
ULASAN | Kerana rasa dan kata adalah separuh nyawa saya, maka saya menulis catatan ini dengan penuh akal fikiran dan perasaan.
Nama saya sebagai calon di DUN Changkat Jong diangkat dalam mesyuarat jawatankuasa pimpinan Amanah pada 17 Oktober. Maknanya saya akan berdiri sebagai calon PH dalam PRU ini.
Sehari selepas itu saya memberi ucapan sayonara kepada para mahasiswa saya di universiti tempat saya bekerja. Meninggalkan dunia akademik dan terjun ke lembah politik bukanlah suatu keputusan peribadi. Jika sayangkan kerjaya yang dipenuhi idea dan fakta yang mulus-mulus, di sinilah tempatnya.
Ketika tanah air ini nazak dan rakyatnya bernafas dalam lumpur, apakah pendirian dan tanggungjawab warganegara pada nusa? Relakah untuk tanah air yang indah ini diratah-ratah oleh penyamun dan perompak atas nama pembangunan dan kemajuan?
Tarikh 19 November adalah kesempatan yang ada untuk kita melakukan perubahan. Lalu kerana itu, saya bersedia menerima amanah yang diberikan oleh parti dengan rasa tanggungjawab nasional.
Biar wujud perbezaan antara kita, keramat perubahan itu sangat perlu dan mendesak. Abaikan soal garis parti-parti politik, kelompok kaum atau agama. Semua kita mahukan kepimpinan yang mempunyai integriti, wibawa dan berkemampuan ke wawasan yang jelas dan diyakini.
Pada 25 Oktober, surat pengesahan menjadi calon ditandatangani Presiden Amanah Mohamad Sabu diemel kepada saya. Emel itu bukan watikah tetapi adalah proses watikah yang bakal ditandatangani Anwar Ibrahim, bakal perdana menteri kesepuluh.
Sudah sekian lama rakyat Malaysia mendambakan tanah air ini dipimpin oleh sosok yang dikagumi dunia timur dan barat. Semoga langkah Anwar Ibrahim bertanding di Tambun menjadi satu gelombang kesedaran rakyat menolak korupsi, penunggang agama dan iblis bertopeng wali.
Memang kerusi Changkat Jong menjadi rebutan antara PKR dan Amanah. DAP teringin juga tetapi tidak pernah disuarakan di peringkat negeri. Walaupun begitu, PKR telah memberi laluan untuk saya dijadikan pertaruhan dalam ‘the mother of general election’. Ia melalui proses perbincangan yang panjang dan berterusan.
Pada pagi 28 Oktober, saya hadir ke Wisma Amanah Perak bersama pimpinan Amanah negeri mengiringi pengerusi Amanah Perak membuat kenyataan media tentang senarai nama calon parti bagi mewakili PH di Perak yang dinamakan presiden, Mohamad Sabu.
Kemudian malamnya, DAP membuat pengistiharan senarai para calonnya di salah sebuah hotel ternama di Ipoh. Ketika itulah, pertembungan antara Amanah dan DAP tentang kerusi Changkat Jong terbuka.
Menurut sumber, ‘top three’ PH yang buat keputusan untuk DAP bertanding di Changkat Jong. Tarikh tepat agak teka-teki tetapi hanya dalam minggu ini. Jika begitu, ia menjadikan DAP bertanding 19, PKR 21 dan Amanah 19 kerusi di Perak. Ia bukan sekadar angka tetapi mempunyai nilai tertentu.
Mungkin kita terlepas pandang bahawa sistem demokrasi adalah membenarkan perbezaan dalam menentukan kepimpinan. Pelbagai parti dan pakatan politik adalah warna demokrasi. Hanya adab kita bersiasah yang mampu membentuk rupa wajah bangsa dan negara.
Dalam kita berbeza, sesekali fitnah, adu domba dan pembohongan tidak dibenarkan. Tidak kira daripada parti mana, kita adalah rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian. Negara ini bukan milik PH, PN, BN, GTA atau orang politik.
PRU adalah waktu untuk rakyat membuat pemilihan masa hadapan negara. Ahli politik jangan terus dibenci dan membenci sesama sendiri. Ahli politik mempunyai tanggungjawab yang merentasi batas kaum, agama dan kelompok.
Ketamakan hanya mengundang kerugian. Pepatah Melayu menyebut, ‘orang tamak selalu rugi’. Bahkan dalam mana jua tradisi ketamadunan masyarakat, pepatah itu adalah global sifatnya.
Saya bukanlah yang terbaik. Ada di luar sana yang jauh lebih baik memberi sumbangan kepada negara. Saya hanya orang parti yang setia pada perjuangan agama, bangsa dan negara. Saya akur dengan sebarang keputusan. Soal rasa dan kata saya ini, sangat peribadi sifatnya. Soal masa hadapan negara wajib diutamakan. Malaysia boleh!
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan aktivis politik. Dia juga naib pengerusi Amanah Perak dan ahli Majlis PH Perak.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai