'10 bintang untuk Azmin tapi PKR lebih menonjol di Gombak'
Malaysiakini telah menemubual beberapa pengundi di Gombak, bertanyakan pendapat mereka mengenai Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan bekas pemimpin PKR Mohamed Azmin Ali yang dikatakan bakal berentap di parlimen itu.
Menurut Razinah Mohd Zain yang juga seorang ahli akademik, kedua-dua pemimpin ini memiliki kelebihan masing-masing dan membantu rakyat.
Profesor madya di Institut Perbankan dan Kewangan Islam UIAM itu berpendapat Amirudin Shari lebih peka dari segi kebajikan manakala Azmin Ali pula dilihat lebih menonjol dari segi korporat.
Pun begitu, dia berpendapat adalah lebih baik jika keduanya lebih kerap untuk turun padang.
Cakna bukan bermusim
"Tapi lebih baik jika mereka lebih kerap untuk turun padang kerana kita tengok sekarang banyak isu projek perumahan area Gombak contoh macam di tapak pasar lama yang terbengkalai, isu kemiskinan pun masih banyak. Ibu-ibu miskin perlu ditekankan.
“Kita nak pemimpin cakna dan peka bersama-sama masyarakat bukan setakat bermusim sahaja," kata Razinah kepada Malysiakini.
Sementara itu, seorang pesara Marzuki Moktar, 62 (gambar, bawah) berkata Azmin dilihat lebih banyak menolong di kawasan parlimen berkenaan.
“Tapi dari segi kelayakan kelihatan dua-dua sama sama layak dan memiliki harapan yang tinggi.” katanya.
Penduduk Gombak Abdullah Abd Manaf, 44 tahun turut berkongsi pendapat sama berkata dirinya cenderung menyukai Azmin disebabkan banyak bantuan diterima daripadanya.
Katanya, jika boleh memberikan penilaian perkhidmatannya dia memberi empat daripada lima bintang.
Namun, pesannya kepada sesiapa yang menang pertandingan kali ini supaya jangan hanya turun padang melawat kawasan semasa musim pilihan raya sahaja.
“Jadi janganlah harapkan rakyat kena minta-minta.
“Kena tahu tujuan rakyat undi dia sebab dia telah diamanahkn Allah SWT.
“Kena dengar suara rakyat jangan biarkan sampai rakyat kena mengemis,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pemandu teksi di Gombak yang hanya ingin dikenali sebagai Kamal, 63 tahun memberitahu Malaysiakini, Amirudin dan Azmin sama-sama memiliki peluang yang tinggi.
"Tetapi apa-apa pun bergantung dengan undian yang diterima disebabkan rata-rata ramai pengundi baru berusia 18 tahun yang akan menentukan siapa yang akan memenangi PRU kali ini," katanya.
Menurut Kamal, sukar menilai siapa yang bagus dan layak disebabkan rakyat hanya mampu membaca di sosial media perihal seorang pemimpin itu tanpa benar-benar mengetahui baik buruk seseorang pemimpin itu.
“Tapi saya rasa PKR lebih menonjol disebabkan di bawah kerajaan negeri jadi memiliki sokongan dan ada kelebihan di sini,” katanya.
Seorang lagi penduduk Gombak Mohd Zafran Mohd Zaidi, 27 tahun, berkata sesiapapun yang menang perlulah lebih banyak membantu rakyat, dari segi baik pulih ekonomi dan juga menolong para peniaga kecil.
Dekat PRU baru buat program
"Meskipun sumbangan di kawasan itu sememangnya ada, tetapi tidak banyak dibuat.
“Jarang melihat pemimpin turut padang, tetapi apabila dekat PRU baru nampak buat program.
“Sebenarnya boleh diperbanyakkan lagi bantuan,“ katanya yang bekerja sendiri.
Peniaga dan penduduk Gombak Rasiah Rasul, 44 tahun (gambar, atas) yang ditemui Malaysiakini berpendapat Amirudin dan Azmin sama-sama layak, jadi terpulang kepada rakyat membuat keputusan mengundi.
Jelasnya lagi, banyak bantuan diterima daripada pemimpin Selangor itu pada masa ini.
Namun, dia menyuarakan masalahnya yang berdepan kesukaran untuk memproses lesen di tempatnya berniaga sekarang.
Rasiah berkata dia berharap pemimpin yang menang lebih peka dengan nasib rakyat, terutamanya golongan peniaga kecil.
"Kalau macam kami inilah sebagai peniaga, jadi mahu ada lesen umum bagi peniaga sebab kami dah cuba, tapi proses itu susah untuk lepas,” ujarnya.
Malaysiakini turut menemubual Sanjay Ghopi, 18 tahun (gambar, atas) seorang pelajar Metodist College yang bakal mengundi buat pertama kali di parlimen Gombak.
Dia ditanya mengenai siapakah yang layak antara Azmin dan Amiruddin untuk menjadi wakil rakyat Gombak pada PRU15.
“Saya rasa Azmin sebab lebih kenal dia berbanding Amirudin.
“Azmin juga banyak bantu kalau tengok di media sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Julin Sulaiman, 43 tahun (gambar, atas) yang bekerja di 7 Eleven Taman Melati, Gombak merasakan akan berlaku persaingan sengit kerana kedua-dua Azmin dan Amirudin memiliki karisma yang bagus dan kuat bekerja.
“Dari segi banyak membantu, Azminlah.
“Azmin ni saya boleh bagi 10 bintanglah.
“Amiruddin ni saya tak berapa kenal, saya tak tahu dia punya karakter,” ujarnya ketika ditemubual oleh Malaysiakini.
Pemimpin akan datang juga, katanya perlu lebih menitikberatkan soal pembangunan di kawasan itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai