DAP, Amanah bertembung di DUN Changkat Jong
DAP dan Amanah dua komponen PH bakal bertembung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ini selepas kedua-dua parti itu mengumumkan calon mewakili parti masing-masing bagi kerusi DUN tersebut.
Sementara, Amanah pagi tadi mengumumkan Muhaimin Sulam sebagai calon PH, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengumumkan Badrul Hisham Badarudin selaku calon mewakili parti itu.
Pada PRU 2018, Changkat Jong dimenangi calon BN Mohd Azhar Jamaluddin kalahkan calon PH Muhammad Faizul Mohamed Ismail (Bersatu) dengan majoriti tipis 67 undi.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke ketika ditanya mengenai isu ini berkata tiada pertembungan antara Amanah dan DAP di kerusi Changkat Jong.
"Keputusan (DAP bertanding di Changkat Jong) yang telah pun dicapai secara konsensus di peringkat Majlis Presiden PH.
"Saya, Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu dan disaksikan oleh ketua setiausaha Saifuddin Nasution, telah mengadakan mesyuarat sebelum Konvensyen PH. Persetujuan telah dicapai pada ketika itu, sebelum kita mengadakan Konvensyen di Ipoh.
"Jadi, kita (DAP) bukannya mengumumkan sesuatu yang belum ada keputusan. Malam ini saya sebagai setiausaha DAP apabila sampai ke majlis pengumuman ini sudah tentu keputusan-keputusan (pengagihan kerusi) telah dimuktamadkan," katanya kepada pemberita di selepas majlis pengumuman calon DAP peringkat Perak di Hotel River Front, Ipoh.
Loke juga berkata dia tidak tahu mengenai pengumuman calon oleh Amanah berhubung kerusi Changkat Jong.
"Mungkin sedikit salah faham. Saya serah kepada Amanah mengendalikannya.
"Apa yang saya boleh pasti, hanya satu calon PH di setiap kawasan yang bertanding," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Amanah Teluk Intan Ahmad Munzirie Ahmad Kabir berkata bahawa Changkat Jong akan kekal milik Amanah.
"Kami ingin menjelaskan bahawa penetapan semua kerusi yang ditandingi Amanah mewakili PH adalah seperti yang telah diumumkan dalam Majlis Pengumuman Calon Amanah Perak pagi tadi oleh Pengerusi Amanah Perak merangkap Pengarah Pilihan Raya Amanah Nasional, Mujahid Yusof Rawa.
"Di peringkat Amanah Teluk Intan, kami tidak menerima sebarang perubahan melibatkan DUN Changkat Jong daripada Jawatankuasa Amanah Negeri Perak mahupun kepimpinan di peringkat nasional.
"Justeru, pertikaian atau perebutan kerusi Changkat Jong seharusnya tidak timbul dan harus dihormati oleh semua parti anggota dalam PH," katanya padakenyataan hari ini.
Changkat Jong merupakan salah satu dari dua DUN di bawah parlimen Teluk Intan.
Selain bertanding diparlimen Teluk Intan, DAP juga meletakkan calon di DUN Pasir Bedamar.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai