Rodziah: Pengundi akan tolak Zuraida sebab khianat mandat rakyat
Penyelaras PKR Ampang Rodziah Ismail, yang dijangka akan bertanding di Parlimen Ampang, yakin pengundi akan menolak penyandang kerusi itu Zuraida Kamaruddin pada pilihan raya umum ke-15 akan datang.
Rodziah yang juga Adun Batu Tiga ketika dihubungi enggan mengulas mengenai isu pencalonan itu.
Dia berkata keputusan rasmi hanya akan diketahui apabila kepimpinan PKR membuat pengumuman pada satu majlis di Ampang yang dijadualkan berlangsung malam ini.
Bagaimanapun, sebagai penyelaras kawasan PKR, Rodziah berkata pengundi Ampang tidak akan melupakan peranan Zuraida dalam rampasan kuasa politik melalui Langkah Sheraton yang menggulingkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.
“Saya rasa bukan dia saja, semua 11 (bekas ahli parlimen PKR) yang mengkhianati rakyat ni, yang mengkhianati mandat yang telah diberikan rakyat Malaysia pada PH tu, terdiri 11 (daripada) mereka, termasuk Zuraida.
“Jadi saya rasa rakyat Ampang tak lupa sesenang itulah. (Mereka) masih ingat bahawa dia sebahagian daripada komplot yang menjatuhkan PH,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia merujuk langkah Zuraida dan sembilan ahli parlimen PKR yang berpaling tadah daripada parti itu pada 2020 bersama Azmin Ali, yang ketika itu timbalan presiden PKR.
Zuraida ialah naib presiden PKR ketika kumpulan itu menyertai rampasan kuasa politik. Mereka kemudiannya menyertai Bersatu, tetapi Zuraida telah meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baru ditubuhkan.
Dia kini dalam perebutan kuasa dengan presiden dan pengasas PBM Larry Sng, yang berkata dia tidak pernah menyerahkan jawatan presiden kepada Zuraida, seperti yang didakwa.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad hari ini dilaporkan mengesahkan bahawa Zuraida akan mempertahankan kerusinya di Ampang.
Nor Hizwan juga berkata lima lagi pemimpin parti itu akan turun mempertahankan kerusi parlimen mereka, iaitu Edmund Santhara (Segamat), Larry Sng (Julau), Stephen Chong (Tebrau), Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu) and Xavier Jayakumar (Kuala Langat).
Bagaimanapun, semalam Sng turut mengumumkan penggantungan jawatan dua tokoh penting PBM iaitu Hizwan Ahmad dan Zakaria Abdul Hamid - dua orang kanan Zuraida.
Dalam pada itu, Rodziah mendakwa Zuraida gagal menangani banyak isu di kawasan parlimen Ampang.
“Setakat ini, sepanjang saya turun selaku penyelaras Ampan, saya dapati ada beberapa perkara saya agak terkejut juga, banyak isu-isu juga tak diselesaikan mantan YB (Zuraida).
“Yang saya rasa InsyaAllah dengan pengalaman saya ada tu, saya pun banyak dialog dengan rakyat, saya akan cuba selesaikan. Itu kerja penyelaras pun.
“Ampang ni unik. Ia cantik, tetapi ia perlu beberapa sentuhan untuk pastikan kawasan itu tempat tumpuan pembangunan. Bukan infra saja, tetapi pembangunan insan, manusia dan penduduk di situ patut diberikan tumpuan,” katanya.
Rodziah (gambar, atas) disebut-sebut antara beberapa nama yang dikatakan berada dalam senarai kepimpinan tertinggi PKR untuk bertanding di Ampang.
Seorang lagi pemimpin parti yang pada mulanya dijadual bertanding di kerusi itu dan berhadapan dengan Zuraida ialah penyandang kerusi parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.
Bagaimanapun, sumber parti memberitahu Malaysiakini bahawa kepimpinan PKR mahu Izzah mempertahankan kerusinya di Pulau Pinang dan membenarkan Rodziah bertanding di Ampang.
Sekiranya benar Rodziah dicalonkan di Ampang pada malam ini, dia mungkin berdepan cabaran yang sukar kerana Zuraida telah memegang kerusi parlimen itu selama tiga penggal berturut-turut.
Sejak pertama kali memenanginya pada PRU12 pada 2008, majoriti undi Zuraida di Ampang juga meningkat dengan ketara.
Pada 2008, Zuraida merampas kerusi itu daripada BN, menewaskan Azman Wahid dengan majoriti 3,676 undi. Pada PRU13, Zuraida mempertahankan kerusi itu apabila menewaskan calon BN Rozaidah Talib dengan majoriti 13,278 undi.
Semasa tsunami politik PRU14, Zuraidau menang sebanyak 54,307 undi dengan majoriti 41,956.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai