Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Misi tumpaskan 'gergasi' buat Sheikh Umar di Ayer Hitam

Ahli jawatankuasa eksekutif (CEC) pusat DAP Sheikh Umar Bagharib Ali akan menentang Presiden MCA Wee Ka Siong di kerusi parlimen Ayer Hitam.

Perkara itu diumumkan semasa majlis makan malam kutipan dana di Muar, Johor semalam.

Semasa pilihan raya umum (PRU) 2018, Wee mempertahankan Ayer Hitam dengan memperoleh 44 peratus undi, mengatasi lawannya Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong dengan hanya 303 undi.

Bercakap kepada pemberita selepas makan malam itu, Liew berkata walaupun dia boleh berdepan Wee kali kedua, keadaan sekarang berbeza berbanding 2018.

“Dengan sentimen anti-Umno dan anti-Ahmad Zahid Hamidi dalam kalangan pengundi Melayu sekarang, kami berpendapat meletakkan Sheikh Umar (atas, kiri) adalah sesuatu yang baru dan boleh membawa kepada kemungkinan dan kejayaan baru.

"Formula lama (mungkin tidak sesuai). Setiap PRU adalah berbeza," kata Liew.

Berdasarkan keputusan pilihan raya dewan undangan negeri Johor pada Mac, Sheikh Umar akan memulakan kempennya bukan sebagai calon pilihan.

Ayer Hitam merupakan majoriti Melayu yang telah diwakili oleh Wee selama empat penggal. Walaupun hanya menang tipis pada PRU lalu, pilihan raya negeri (PRN) pada Mac menandakan perubahan dalam sentimen pengundi kawasan itu.

Terdapat dua DUN di Ayer Hitam - Semarang dan Yong Peng. Semasa PRN Mac, BN merampas kembali Yong Peng dan bertahan di Semarang.

Secara kolektif, BN memenangi 57.3 peratus undi di Semarang dan Yong Peng ini - perubahan besar 13.32 peratus memihak kepada mereka berbanding 2018.

Di Semarang, calon Pakatan Harapan (PH) tidak berjaya mengekalkan depositnya.

Pada 2018, Sheikh Umar berkhidmat sebagai Adun Paloh namun gagal mengekalkan kerusinya semasa PRN pada Mac.

Dalam satu kenyataan, Sheikh Umar mengakui bahawa dia berdepan dengan cabaran yang sukar tetapi percaya anggaran 21,000 pengundi baru di Ayer Hitam akan menyokong PH.

Dia juga mengingatkan pengundi bahawa Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi pernah menamakan Wee dalam ucapannya yang menjadi kontroversi pada mesyuarat agung tahunan MIC pada 10 Okt lepas.

"Bagi BN, mereka takut diheret ke mahkamah... Bagi kami, pilihan raya ini adalah mengenai tadbir urus yang baik, pemulihan ekonomi, ringgit yang stabil dan keharmonian dalam kalangan rakyat," katanya.

Sementara itu, DAP juga mengumumkan bekas Adun Skudai Tan Hong Pin akan diletakkan sebagai calon bagi kerusi parlimen Bakri.

Dia akan menggantikan penyandang Yeo Bee Yin, yang akan diletakkan sebagai calon di Puchong, Selangor.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, yang mengumumkan langkah itu pada majlis makan malam tadi, berkata Yeo "dihantar" ke Selangor kerana lebih ramai calon wanita diperlukan di sana.

Loke juga mengumumkan bahawa Pang Hok Liong akan mempertahankan kerusi Labis.

Majlis makan malam itu turut menyaksikan replika lukisan penyandang parlimen Damansara Tony Pua dilelong pada harga RM4,888. Secara berasingan, RM11,696 lagi berjaya dikutip pada majlis itu.