Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAS anggap BN Pahang tak sedar diri

PRU15 | PAS Pahang menganggap Umno-BN seolah-olah tidak sedar diri serta gagal berpijak di bumi nyata.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar, berkata kenyataan pemimpin BN negeri itu kelihatan tidak belajar daripada pengalaman semasa pilihan raya umum (PRU) lalu.

"Umno ingat kita (PAS) ini macam budak-budak, macam budak kecil yang tak tahu apa-apa, dia ingat kita ini OKU (orang kurang upaya), jenis orang lumpuh (dan) tak daya nak melawan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya PN Paya Besar di Kuantan, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi PN Pahang, Saifuddin Abdullah, dan Ketua Penerangan PAS Pahang yang juga penyandang kerusi DUN Panching, Mohd Tarmizi Yahaya.

Rosli berkata demikian sebagai mengulas kenyataan dibuat Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, yang mahu memastikan PAS tewas dalam semua kerusi yang ditandinginya.

Berucap di sebuah program di Kuantan yang turut dihadiri Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi semalam, Wan Rosdy berkata, BN Pahang juga mahu memastikan semua lapan kerusi yang dimenangi PAS pada 2018 dapat dirampas semula.

Untuk rekod, Umno dan PAS sudah menjalin kerjasama rasmi melalui Muafakat Nasional ketika kedua-dua parti menjadi pembangkang.

Wan Rosdy Wan Ismail

Bagaimanapun selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui Langkah Sheraton, hubungan kedua-dua parti mula menegang.

Baru-baru ini PAS menyatakan secara terbuka keinginan mereka - bersama Perikatan Nasional (PN) - untuk menjatuhkan BN di Pahang.

Rosli berkata dalam PRU ke-15 ini PAS menyertai persaingan itu sebagai PN dan pada masa sama gelombang kebencian rakyat terhadap Umno-BN diperlihatkan dengan begitu ketara.

"Kalimah 'puaka' yang mengatakan hanya Umno dan BN sahaja boleh memerintah, kalimah 'puaka' ini dah tak terpakai lagi.

"Kita dah melihat dalam konteks pilihan raya di negara luar, perubahan kerajaan di negara jiran, begitu juga di sini (Malaysia) selepas Mahathir (Mohamad) mengundurkan diri, lepas itu Umno makin lama makin lemah, beberapa negeri dikuasai parti yang lain, silih berganti.

"Ini menunjukkan kepada kita betapa rakyat Malaysia tidak lagi takut untuk menukar kerajaan, jadi kalau Umno kata hanya Umno saja yang layak memerintah, perkataan ini adalah satu perkataan yang tidak diterima pakai lagi oleh rakyat Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, PAS Pahang dalam satu kenyataan media pagi tadi menegaskan gabungan PAS, Bersatu dan Gerakan akan bekerja keras untuk menewaskan BN di Pahang dalam PRU ke-15.

"Culaan kita sehingga kini mendapati PN hampir menguasai 17 kerusi. Insya-Allah dengan kerja keras, jumlah ini akan bertambah menjelang hari pengundian 19 Nov ini.

"Jentera PN yang turun bertemu pengundi mendapati gelombang untuk menolak BN dan memilih PN juga begitu besar," kata kenyataan itu lagi.

Untuk rekod lapan kerusi DUN yang dimenangi PAS pada 2018 ialah:

Tahan
Damak
Beserah
Tanjung Lumpur
Panching
Luit
Chenor
Jengka