Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah tolak permohonan Najib hadir parlimen

Penyandang parlimen Pekan, Najib Razak yang kini dipenjarakan gagal dalam permohonannya untuk dibenarkan hadir di parlimen (yang kini sudah dibubarkan).

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk memulakan semakan kehakiman.

Sebelum ini semasa mendengar perkara itu, pasukan peguam Jabatan Peguam Negara (AGC) secara lisan berhujah bahawa tindakan undang-undang itu bersifat akademik kerana Dewan Rakyat dibubarkan pada 10 Okt lepas.

Najib, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun berhubung rasuah membabitkan RM42 juta dana daripada SRC International milik kerajaan, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 5 Okt.

Ketika membaca penghakimannya, hakim Ahmad Kamal Md Shahid berkata ia adalah kerana isu permohonan pelepasan Najib bukan lagi isu langsung.

Kamal berkata antara pelepasan yang diminta ialah pemohon dibenarkan menghadiri persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 3 Okt hingga 29 Nov.

“Dengan pembubaran parlimen, ia bermakna parlimen sekarang telah berakhir, bermakna ahli-ahli Dewan Rakyat tidak lagi menjadi ahli parlimen.

“Adalah jelas bahawa dengan pembubaran parlimen, penggal parlimen telah berakhir dan oleh itu pemohon bukan lagi ahli parlimen Pekan.

“Oleh itu, pada pandangan saya, pelepasan pengisytiharan yang diminta pemohon iaitu mendapat akses kepada pegawainya bagi tujuan kerja parlimen, perundangan dan konstituen serta akses kehadiran menghadiri sidang parlimen pada tarikh yang dijadualkan bukan lagi isu langsung.

“Pengisytiharan yang diminta menjadi mustahil dengan pembubaran parlimen kerana tiada lagi parlimen untuk dihadiri.

"Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan bahawa tarikh pengundian untuk pilihan raya umum adalah pada 19 Nov, 2022, ini bermakna akan ada satu lagi kabinet dibentuk daripada ahli parlimen yang baru dipilih," kata Kamal, sambil menambah bahawa tidak akan ada perintah mengenai kos.

Pada ketika ini, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan mahkamah bahawa mereka akan merayu ke Mahkamah Rayuan.

Semasa prosiding perkara mahkamah sivil, Najib dilihat berada di galeri awam sambil dikelilingi oleh sekumpulan kecil pegawai Penjara Kajang. Rosmah juga kelihatan sedang duduk berdekatan.

Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili AGC.

Menerusi tindakan undang-undang itu, Najib memohon perintah mahkamah untuk mendapat akses kepada pegawai parlimennya bagi menjalankan tugasnya sebagai ahli parlimen, dan kedua, untuk menghadiri parlimen.

Menerusi afidavit menyokong tindakan undang-undang itu, Najib mendakwa bahawa sejak 19 Sept dan seterusnya, dia telah "terjejas teruk" oleh keengganan responden untuk membenarkannya mengakses pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja parlimen, perundangan dan konstituen.

Najib juga mendakwa bahawa dia terjejas teruk oleh responden yang menolak permohonannya untuk mendapat akses dan hadir di parlimen pada tarikh persidangan yang dijadualkan.

[Baca berita penuh]