Kempen Anwar di Tambun esok padat
Sejak disingkirkan daripada koridor kuasa lebih dua dekad lalu, impian Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri sering kali gagal.
Selepas pilihan raya umum pada 2018, Anwar Ibrahim kelihatan sebelah kakinya sudah berada di pejabat paling berkuasa di negara ini sebelum Dr Mahathir Mohamad menutup peluang itu, sekali lagi.
Bagi pilihan raya umum ke-15, pengerusi Pakatan Harapan itu memutuskan untuk mempertaruhkan nasib politiknya kepada pengundi di Tambun, Perak, kira-kira 300km dari kerusinya sekarang di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Ini boleh jadi cubaan terakhir ahli politik berusia 75 tahun itu untuk merebut jawatan perdana menteri, ketika terdapat penyokong PH yang masih kecewa akibat keruntuhan kerajaan gabungan berkenaan selepas 22 bulan berkuasa.
Bagi memastikan masa depan politiknya tidak malap dan untuk menyemarakkan semangat penyokongnya, Anwar akan menjelajah Perak esok untuk beberapa siri program dengan pengundi semua kaum, meliputi jarak keseluruhan 62km.
Menyedari apa yang dipertaruhkan, nampaknya dia tidak mahu membuang masa.
Selepas bertemu jentera pilihan raya di DUN Manjoi, yang terletak di bawah kerusi parlimen Tambun, presiden PKR itu akan menuju ke Chemor.
Pada tengah hari, dia akan menyertai pesta “Lei Cha” bersama-sama dengan DAP di Sg Kanthan dengan tujuan meraih undi masyarakat Cina. Lei Cha ialah hidangan tradisional Hakka yang diperbuat daripada daun teh dan nasi.
Sejam kemudian, dia akan menunaikan solat Zohor di Masjid Chemor. Dari sini, Anwar akan menuju ke balai raya untuk program bersama pesara tentera pada pukul 2 petang.
Pada jam 3 petang, Anwar akan bertemu dan beramah mesra dengan penduduk di Taman Chepor Jaya. Ini akan diikuti dengan solat Asar dan berehat sebentar.
Kemudian, ketua pembangkang yang gemar mendendangkan lagu Tamil lama di ceramah, akan menggunakan pesonanya untuk menawan hati pengundi India pada program Deepavali di Hulu Kinta.
Selepas mengumumkan akan bertanding di kerusi Tambun pada konvensyen PH di Ipoh pada 20 Okt ini, Anwar mengakui ia suatu pertarungan yang sukar.
Bagaimanapun, dia berikrar untuk menawan kerusi itu dan mengisytiharkan Perak sebagai negeri barisan hadapan PH dalam menggempur parti pemerintah.
Jika dia berjaya menjadi perdana menteri seterusnya, Anwar berikrar untuk tidak mengambil gaji dan elaunnya, mengurangkan saiz kabinet serta memotong gaji menterinya.
Penyandang kerusi parlimen Tambun ialah bekas menteri besar Perak dan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.
Bersatu merupakan sebahagian daripada PH sebelum parti itu bekerjasama dengan kumpulan ahli parlimen PKR yang berpaling tadah serta Umno dan PAS dalam menggulingkan kerajaan PH pada 2020.
Memandangkan Bersatu dan PAS telah menamatkan hubungan mereka dengan Umno, Anwar dijangka berdepan beberapa lawan di kerusi majoriti Melayu itu.
Penamaan calon untuk PRU15 pada 5 Nov dan pengundian akan berlangsung selepas tempoh berkempen selama dua minggu pada 19 Nov.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai