Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Rara ganti Wong Tack untuk berdepan dengan Tiong Lai

DAP Pahang menamakan empat calon parlimen di negeri itu.

Aktivis anti-Lynas activist Wong Tack digugurkan sebagai calon DAP di Bentong dan akan digantikan oleh Young Syefura Othman yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari.

Young Syefura atau lebih dikenali sebagai Rara dijangka bertembung dengan bekas presiden MCA Liow Tiong Lai.

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dalam sidang media di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

Anthony Loke

Loke turut mengumumkan beberapa lagi calon mereka di negeri pimpinan Umno itu, iaitu Chiong Yoke Kong (Cameron Highlands), Chow Yu Hui (Raub), dan Tengku Zulpuri (Lipis). 

Memetik sumber, Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa Wong Tack menawarkan diri untuk mempertahankan kerusi Bentong.

Liow pernah mengalahkan Wong Tack pada 2013 tetapi tewas kepada calon sama pada 2018.

Chow dijangka bertemu dengan Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon di Raub manakala Tengku Zulpuri bertukar kerusi dari Raub ke Lipis.

Sementara itu, Bernama memetik Loke sebagai berkata, Lipis, merupakan kerusi tambahan yang diperuntukkan untuk DAP di Pahang.

"Tambahan satu kerusi Parlimen iaitu di Lipis setelah kami berbincang dengan Majlis Tertinggi Pakatan Harapan," katanya.

Loke mengumumkan penyandang DUN Tanah Rata Chiong Yoke Kong akan bertanding di Cameron Highlands, penyandang DUN Tras Chow Yu Hui di Raub, penyandang DUN Ketari Young Syefura Othman di Bentong, manakala penyandang Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah Raja Puji akan bertanding di kerusi Lipis.

Loke berkata DAP akan bertanding di lapan kerusi DUN pada PRU15.

Menurutnya, Tengku Zulpuri merupakan satu-satunya calon DAP yang akan turut bertanding di kerusi DUN, manakala senarai nama calon DUN lain akan diumumkan di Bentong, Pahang pada minggu hadapan.

Ditanya mengenai keputusan tidak menampilkan Wong Tack untuk mempertahankan Parlimen Bentong pada PRU15, Loke berkata pihaknya telah berbincang dengan Wong untuk meletakkannya bertanding di Cameron Highlands namun Wong menolak.

Wong, yang dikenali sebagai aktivis anti-Lynas, memenangi kerusi Parlimen Bentong pada PRU14 dengan majoriti 2,032 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.