Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Langkah calonkan Nizar untuk selamatkan legasi Najib - penganalisis

PRU15 | Langkah meletakkan Nizar Najib sebagai calon di Parlimen Pekan dilihat bertujuan memastikan kerusi itu selamat untuk ditandingi semula bapanya apabila dibebaskan daripada penjara kelak.

Menurut pensyarah kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi Dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, anak sulung Najib Razak itu dianggap mewakilinya bapanya buat sementara waktu di parlimen berkenaan.

"Satu masa Najib akan kembali ke tempat dia. Nizar ini macam mewakili ayahnya.

"Orang lain takkan berani nak berebut kawasan di situ. Pekan merupakan kawasan legasi Najib Razak dan orang menghormati legasi beliau.

“Orang lain jangan beranganlah nak memperoleh kawasan itu. Keluarga dia saja yang boleh (bertanding di situ),“ ujarnya kepada MalaysiaKkni.

Selain itu katanya, pemilihan Nizar sebagai calon di Pekan juga dilihat tepat bagi membangkitkan sentimen pengundi dan memberikan kemenangan kepada BN.

Jelasnya, pengundi di Pekan tidak mudah melupakan jasa keluarga Najib di Pekan sejak zaman Tun Razak Hussien lagi.

Malah katanya, Najib juga telah menyumbangkan banyak jasa seperti mendirikan kem tentera dan membina pelbagai kemudahan kepada penduduk setempat.

Sementara itu, Dr Awang Azman yang juga penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM) berkata, langkah meletakkan Nizar merupakan satu cara bagi memberi laluan kepada pemimpin muda dalam BN.

Di samping itu katanya, BN mahu menggunakan sentimen dan simpati terhadap Najib yang sedang dipenjarakan untuk meraih sokongan pengundi di kawasan itu.

Dr Awang turut berpendapat usia yang muda bukan penghalang bagi Nizar untuk diberi peluang menjadi wakil rakyat.

Ini kerana katanya, Najib juga pernah bertanding di Pekan pada usia muda sebelum kerjayanya dalam politik naik mendadak.

“Jika anak Najib terpilih dapat mengelak perebutan di antara timbalan ketua bahagian, pihak-pihak lain yang sudah pasti mengidamkan kerusi tersebut,” ujarnya kepada Malaysiakini.

Ditanya apakah langkah itu bagi memastikan Najib dapat mengekalkan kerusi itu apabila dibebaskan daripada penjara kelak, Awang Azman berpendapat bekas perdana menteri itu mampu menandingi mana-mana kerusi parlimen lain.

“Di mana-mana tempat di Pahang atau negeri lain boleh dipilih Najib.

“Ini kerana, banyak ahli politik (dalam Umno) terhutang budi oleh sumbangannya sebelum ini. Oleh itu selain dari kerusi Pekan, banyak tempat lain juga yang boleh dimilikinya.

“Tetapi sudah tentu Pekan memberi kelebihan kerana dari segi kempen, dia tidak perlu bekerja lebih kuat berbanding di kawasan parlimen lain kerana memang sudah ada undi dan asas sudah kuat di situ," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Sains Politik UKM, Dr Jamaie Hamil tidak menolak kemungkinan langkah mempertaruhkan Nizar akan memberi kemenangan percuma kepada BN.

Malah, katanya, keputusan itu menyerupai langkah yang diambil Anwar Ibrahim ketika dipenjarakan apabila Presiden PKR itu memilih isterinya, Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti di kerusi parlimen Permatang Pauh.

“Jadi dengan diletakkan anak Najib di situ sebagai menggantikan tempat ayahnya, bukan sesuatu yang pelik tetapi perkara yang biasa," ujarnya lagi.

BN baru-baru ini mengumumkan Nizar sebagai calon di Pekan bagi menggantikan bapanya yang sedang dipenjarakan.

Pekan merupakan kubu kuat BN dan telah dimenangi perdana menteri kedua, Razak Hussien dari 1959 sehingga 1976.

Najib kemudian mengambil alih tempat bapanya sebagai ahli parlimen Pekan dari 1976 sehingga pilihan raya umum lepas.

Selain itu Najib juga pernah dilantik sebagai menteri besar Pahang dari 1982 hingga 1986.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) sebanyak RM42 juta.