Calon Muda atau Jawa Sekinchan jadi pertaruhan PH di Tg Karang?
Terletak kira-kira 90 kilometer di barat laut Kuala Lumpur, kawasan parlimen luar bandar Tanjong Karang menyaksikan pelancong sekali-sekala singgah untuk mencuba makanan lautnya.
Bagaimanapun, ramai lagi pelancong akan memandu lebih jauh ke utara ke kawasan pelancongan popular Sekinchan.
Dari segi politik, Tanjong Karang mempunyai majoriti pengundi Melayu – bukan sahaja yang menjadi kubu kuat Umno dan BN, tetapi juga merupakan kawasan penyokong Pengerusi Umno Selangor Noh Omar.
Semasa pilihan raya umum (PRU) ke-14, Tanjong Karang hanyalah satu daripada dua kerusi parlimen di Selangor yang dimenangi BN, satu lagi kerusi Sabak Bernam.
Selepas penyandang parlimen Sabak Bernam Mohd Fasiah Mohd Fakeh lompat parti ke Bersatu, Tanjong Karang menjadi kubu terakhir BN di Selangor sehingga parlimen dibubarkan.
Noh pertama kali dipilih sebagai ahli parlimen Tanjong Karang pada 1995 dan sejak itu terus memegang jawatan itu, malah berjaya mengharungi sentimen anti-BN yang kuat pada 2018 yang menyaksikan kemenangan Pakatan Harapan (PH).
Jelas kepada BN dan Umno bahawa Noh mempunyai pengaruh yang besar di kawasan itu.
Atas dasar itu, selain cuba menepis persepsi sebagai "anti-Melayu", DAP ingin bertanding di beberapa kerusi majoriti Melayu seperti Gerik di Perak, Lipis di Pahang, dan Tanjong Karang.
Bagaimanapun, rundingan juga sedang dijalankan untuk DAP memberi lauan kepada sekutu pilihan rayanya, Muda.
Di sebalik pengaruh Noh di Tanjong Karang, undi majoritinya dalam pilihan raya semakin tipis sepanjang enam penggal memegang jawatan. Pada 2018 misalnya, undi majoritinya hanya 1,976 undi atau 4.86 peratus daripada jumlah undi.
Kebanyakan pengundi Tanjong Karang adalah Melayu (74.67 peratus), diikuti Cina (15.96 peratus) dan India (8.94 peratus).
PH telah memperuntukkan kerusi itu kepada Bersatu semasa PRU ke-14, tetapi selepas keluar daripada gabungan itu pada 2020, kerusi Bersatu telah diperuntukkan semula kepada parti komponen PH yang lain.
Kerusi Tanjong Karang diperuntukkan kepada DAP, tetapi parti itu sedang berunding dengan Muda untuk memutuskan siapa yang akan bertanding pada pilihan raya akan datang.
Ketika ditanya berhubung perkara ini, Setiausaha DAP Selangor Ng Sze Han mengesahkan DAP mungkin bertanding di kerusi itu, bergantung kepada rundingan dengan Muda.
Dia percaya rundingan akan dimuktamadkan dalam masa satu atau dua hari.
Sementara itu, DAP mengadakan majlis makan malam mengumpul dana di Kelana Jaya esok di mana ia akan mengumumkan calon pilihan rayanya di Selangor.
Ditanya sama ada calon Tanjong Karang akan menjadi sebahagian daripada pengumuman itu, Ng berkata ia bergantung kepada sama ada rundingan boleh dimuktamadkan sebelum acara itu.
Sementara itu, Ketua Penerangan Muda Selangor R Siva Prakash memberitahu Malaysiakini, Muda sedang berusaha untuk meletakkan calonnya di Tanjong Karang dan rundingan yang sedang dijalankan adalah "sangat positif".
Walaupun rundingan masih belum dimuktamadkan, dipercayai jika DAP mendapat kerusi itu, Adun Sekinchan Ng Suee Lim berkemungkinan besar akan diletakkan sebagai calon.
Ng ialah speaker DUN Selangor dan naib pengerusi DAP Selangor. Dia memegang kerusi Sekinchan sejak 2004 dan mengembangkannya menjadi tarikan pelancong dalam negeri.
Sekinchan ialah sebuah kawasan DUN dalam kawasan parlimen Sungai Besar, yang bersebelahan dengan Tanjong Karang.
Ng dan DAP telah membina reputasi dan pengaruhnya di kawasan itu dan menjadi tonggak kekuatannya.
Selain itu, Ng yang fasih berbahasa Melayu dan Jawa sangat popular dalam kalangan masyarakat Melayu Jawa.
Malah dia digelar sebagai “YB Jawa Sekinchan”.
Nampaknya Ng dan DAP telah meletakkan asas untuk memecahkan benteng terakhir BN di Selangor.
Sejak April 2021, Ng aktif menyiarkan aktivitinya di Tanjong Karang di platform media sosial, termasuk menyampaikan pelitup muka dan makanan di bazar Ramadhan.
Ng juga menubuhkan pejabat penyelaras parlimen di bandar Tanjong Karang. Seorang kakitangan pejabat itu memberitahu Malaysiakini pejabat itu ditubuhkan pada Julai 2021 untuk mengendalikan aduan mengenai isu tempatan.
Adakah DAP akan beri laluan kepada Muda?
Bagaimanapun, ketika bercakap kepada Malaysiakini selepas menghadiri sambutan Deepavali di Tanjong Karang pada Ahad, Ng kelihatan keberatan untuk bertanding.
Sebaliknya, dia membayangkan partinya boleh memberi laluan kepada Muda untuk bertanding.
“Umno mempunyai akar yang mendalam di Tanjong Karang, tetapi pokok tua pun akan tumbang.
“Khabar angin mengatakan saya mungkin bertanding, tetapi khabar angin terbaru mengatakan Muda sedang berunding dengan PH dan berharap mereka boleh bertanding di kerusi luar bandar Melayu.
“Khabar angin ini wujud. Kami akan biarkan pimpinan parti membuat keputusan," katanya.
Ng berkata Tanjong Karang dianggap sebagai "kerusi panas". Jika calon Muda diletakkan untuk mencabar Noh, dia percaya ia akan mendapat lebih perhatian.
Ketika ditanya tentang peluangnya untuk bertanding di Tanjong Karang, Ng berkata ia "tidak tinggi". Ditanya tentang kemungkinan Muda bertanding sebaliknya, Ng berkata, "Ada kemungkinan, kerana mereka tidak mempunyai sebarang kerusi di Selangor."
Dia turut melahirkan kebimbangan sekiranya memenangi kerusi Tanjong Karang, BN boleh mendakwa bahawa “DAP sedang mengawal kerusi Melayu dan Melayu”.
Ketika ditanya hari ini mengenai perkembangan rundingan, Ng memberitahu Malaysiakini melalui mesej teks bahawa rundingan itu masih diteruskan dan Muda nampaknya akan bertanding di kerusi itu.
Akar umbi berharap Ng akan bertanding
Walaupun Ng seperti tidak berminat untuk bertanding di kerusi itu, sebilangan penyokong PH menggesa dia dicalonkan bagi kerusi berkenaan.
Chong, 64, pemilik kedai di Kampung Ulu Tiram Buruk, berkata Ng diterima baik oleh masyarakat Melayu dan telah berkhidmat di kawasan itu.
Ahli DAP itu berkata adalah menarik untuk melihat Ng menentang Noh.
“Saya harap Ng akan bertanding. Hanya dia berpeluang memenangi kerusi ini, Muda tidak akan berpeluang.
“Di kawasan luar bandar ini, hubungan dengan rakyat sangat penting, tidak seperti kawasan bandar atau lebih berpendidikan.
“Tambahan pula, Noh berada di peringkat menteri dan dia tidak tewas dalam pilihan raya lalu. Tetapi sekarang, menghantar calon dari Muda yang tidak dapat kita kenali; bagaimana hendak melawan?” katanya.
Sementara itu, suri rumah Woon berkata dia pasti akan mengundi PH jika Ng bertanding.
Bagaimanapun, jika PH menghantar muka baru, dia berkata dia akan lebih teragak-agak.
“(Saya akan) tunggu dan lihat. Lagipun, kita tidak tahu apa-apa tentang mereka. Kami takut mereka mungkin tidak menyediakan perkhidmatan selepas mereka menang,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai