Bukit Lagong: Lagi kuari dengan kaitan kerabat raja, politik
Lima lagi kuari yang akan beroperasi di Hutan Simpan Bukit Lagong di Selangor didapati mempunyai kaitan dengan kerabat diraja negeri itu dan dua menteri besar.
Sebelum ini, Malaysiakini mendedahkan 27 kuari akan dibuka, dengan sekurang-kurangnya tiga berkaitan dengan kerajaan negeri.
Dua daripadanya adalah firma Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB). Kedua-duanya itu dimiliki oleh kerajaan negeri dan dipengerusikan oleh menteri besar.
Yang ketiga dimiliki oleh Koperasi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Berhad. Kakitangan semasa dan bekas Jabatan Perhutanan Selangor dibenarkan menyertai koperasi berkenaan.
Dengan lima kuari terbaru, jumlah kuari yang mempunyai hubungan politik atau diraja secara langsung atau tidak langsung ialah lapan atau 30 peratus daripada 27 kuari.
Menurut rekod Suruhanjaya Syarikat, tiga pemaju yang mempunyai hubungan dengan kerabat raja ialah Sodc Global Network Sdn Bhd, Genius Force Sdn Bhd dan Pioneer Highland Sdn Bhd.
Sodc Global Network mempunyai dua pihak berkepentingan - adik lelaki dan anak saudara Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Tengku Sulaiman Shah mempunyai 49 peratus kepentingan dalam syarikat itu manakala putera baginda Tengku Shakirinal Shah adalah pemegang kepentingan utama dan memegang saham selebihnya.
Bagi pemaju kedua, Genius Force, pemegang kepentingan utama ialah Blueprint Projects Sdn Bhd yang memegang 95 peratus.
Tengku Amir Shah, putera Sultan Sharafuddin menguasai 70 peratus kepentingan dalam Blueprint Projects Sdn Bhd , yang dalam erti kata lain bermakna raja muda Selangor itu menguasai 66.5 peratus Genius Force.
Bagi pemaju ketiga, Pioneer Highland, pemegang kepentingannya termasuk Templer Powell Sdn Bhd (75 peratus saham) dan Nakhoda Aktif Sdn Bhd (25 peratus saham).
Nama raja muda itu muncul sekali lagi dalam data syarikat Templer Powell. Dia memegang 60 peratus saham, meletakkannya mengawal 45 peratus Pioneer Highland.
Sementara itu, kekanda raja muda itu - Tengku Zatashah - memiliki 20 peratus saham Templer Powell, secara tidak langsung menguasai 15 peratus Pioneer Highland.
Nakhoda Aktif mempunyai dua pemegang saham, salah satunya Budaya Selatan Sdn Bhd yang memegang separuh daripada pegangan. Anak saudara sultan Putera Azamuddin memegang 90 peratus pegangan dalam Budaya Selatan dan oleh itu, secara tidak langsung memegang 11.25 peratus saham Pioneer Highland.
Menurut peta yang didedahkan oleh pemerhati alam sekitar Rimba Disclosure Project, tapak kuari Genius Force dan Pioneer Highland terletak bersebelahan antara satu sama lain di sebelah barat laut hutan berkenaan.
Selain kerabat diraja yang disebutkan di atas, terdapat juga bekas kakitangan istana Selangor terlibat dalam projek kuari.
Menurut laporan media, salah seorang pemegang saham Pilihan Daulat Sdn Bhd Zakaria Abdul Rahman adalah bekas pengelola bijaya diraja Selangor dan pernah dianugerahkan gelaran “Dato’ Diraja Selangor” pada 2019.
Malaysiakini telah menghubungi pejabat diraja Selangor untuk mendapatkan maklum balasnya.
Terlibat dalam kempen alam sekitar
Menarik juga untuk diperhatikan bahawa Tengku Zatashah, yang adalah puteri kedua sultan, sering meletakkan dirinya sebagai aktivis alam sekitar. Dia memulakan kempen #sayno2plastic pada 2016 dan ke Pulau Redang untuk aktiviti pembersihan pantai.
Dia juga terlibat dalam kempen #zerofoodwastage dan #NoMoreLitter dan pernah dijemput ke Sidang Kemuncak Paris ChangeNow pada 2020 untuk bercakap tentang usahanya dalam mempromosikan inisiatif sosial yang mampan.
Raja Muda sebaliknya, pula telah dipetik menyatakan kebimbangan mengenai alam sekitar dan bagaimana pembangunan memberi kesan kepada perubahan iklim.
Melombong atau aktiviti kuari di tanah rizab hutan bertentangan dengan pembangunan mampan kerana apabila hutan dibersihkan untuk kuari, ia akan kehilangan fungsinya sebagai "paru-paru hijau" dan banjir boleh menjadi lebih teruk.
Kuari - perniagaan menguntungkan di S’gor
Portal alam sekitar Macaranga melaporkan bahawa kerajaan negeri menaikkan kadar cukai produk perhutanan (terutamanya batu kuari) yang membawa kepada hasil perhutanan yang lebih tinggi sejak 2011.
Hasilnya, laporan itu menyatakan bahawa kutipan setiap kawasan hutan di Selangor adalah yang tertinggi di negeri-negeri di semenanjung walaupun negeri itu mengenakan moratorium selama 25 tahun ke atas aktiviti pembalakan di hutan simpan.
Sebagai contoh, Selangor mengutip RM345 hasil perhutanan sehektar iaitu 3.7 kali ganda lebih tinggi daripada purata di semenanjung iaitu sebanyak RM93.
Ini membuktikan industri kuari merupakan perniagaan yang menguntungkan di Selangor.
Bagaimanapun, 27 kuari baharu di Bukit Lagong tidak melalui proses tender terbuka dan terdapat kekurangan ketelusan berhubung prosedur kelulusan kerajaan.
Kakitangan bekas dan penyandang MB terlibat
Sementara itu, salah seorang pemaju kuari - Jernih Jasa Intan Sdn Bhd (JJI) - mempunyai dua pemegang saham yang dikaitkan dengan bekas menteri besar Selangor Azmin Ali dan penggantinya Amirudin Shari.
Semakan mendapati kedua-dua Razali Ramly dan Khairul Afiq A Rahim masing-masing memegang 30 peratus kepentingan dalam firma itu.
Razali adalah pegawai khas Azmin atas kapasiti Azmin sebagai ahli parlimen Gombak. Pada 1999, Razali bertanding di kerusi Sungai Tua di bawah PKR tetapi tewas kepada calon BN.
Selepas Selangor tumbang kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2008, Razali dilantik sebagai ahli majlis bandaran Ampang Jaya pada 2010.
Manakala, bapa Khairul Afiq ialah A Rahim Ahmad Kasdi, yang merupakan setiausaha politik menteri besar semasa (kawasan Sungai Tua).
Malaysiakini telah menghubungi Razali, Rahim serta pejabat Azmin dan Amirudin untuk mendapatkan ulasan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai