Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Alor Gajah jadi medan antara PN dan PH kekang BN

PRU15 | Selama 44 tahun, kawasan Parlimen Alor Gajah dikenali sebagai salah satu kubu kuat BN di Melaka, sehinggalah kerusi itu dirampas Pakatan Harapan (PH) pada 2018 menerusi calon daripada Bersatu ketika itu, Mohd Redzuan Md Yusof.

Khabar angin bertiup kencang yang BN mungkin menyerahkan kerusi itu kembali kepada Umno selepas membenarkan MCA bertanding di situ sejak 2004.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan, disebut-sebut akan dipilih sebagai calon.

Namun, tinjauan yang dilakukan Malaysiakini dalam kalangan pengundi di bandar bersejarah - kira-kira 30 minit dari Melaka tengah itu - mendapati BN mungkin sulit merampas kembali kerusi berkenaan.

Pengundi atas pagar dilihat lebih memilih antara Perikatan Nasional (PN) - yang kini dianggotai Redzuan - dan PH sebagai pilihan utama mereka pada pilihan raya umum (PRU) bulan depan.

Hal ini amat ketara dalam kalangan pengundi kali pertama.

Bagi Sara yang berusia 20 tahun, dia menegaskan tidak akan mengundi calon BN.

“Sekarang harga barang pun makin lama makin tinggi. Orang pun susah sekarang nak membeli.

“Harga barang sekarang naik melampau. Cubalah yang lain selain BN,” kata pelajar itu kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, ditanya sama ada dia tahu siapa penyandang ahli parlimen di kawasan itu, Sara berkata dia tidak begitu mengenali Redzuan, mahupun parti yang disertai bekas menteri terbabit.

Ekonomi sangat teruk

Soalan sama juga diajukan kepada Sean yang menyangka Pak Wan - gelaran yang diberikan Redzuan - adalah Sulaiman Md Ali, ketua menteri Melaka sekarang.

Sean, 20, mengakui tidak berminat dengan situasi politik semasa, seperti kebanyakan pengundi yang ditemui Malaysiakini dan merasakan tiada sebab untuk dia turun mengundi.

"Tidak kira (parti mana) menang atau kalah, tetap sama," katanya.

Bagaimanapun, di sebalik sikap tidak peduli itu, Sean berkata dia akan mencelupkan jarinya ke dalam dakwat kekal sekurang-kurangnya kali ini.

Bimbang dengan keadaan ekonomi sekarang menjadi pendorong buat Sean mengundi.

“Sekarang ekonomi sangat teruk, saya hanya cuba mengundi kali ini, tapi mungkin selepas ini (PRU ke-15) saya tidak lagi mengundi,” katanya.

Sean juga menambah dia mungkin hanya akan mengundi PH kerana gabungan itu dilihatnya paling kurat membawa mudarat berbanding parti lain.

Bukan hanya golongan muda seperti Sean dan Sara yang menyebut mengenai kenaikan kos sara hidup sebagai faktor untuk keluar mengundi.

Bagi penjual ikan yang enggan namanya disiarkan, kesejahteraan ekonomi rakyat adalah lebih penting daripada siapa yang perlu diundi.

“Tak tahulah nak undi, tak pedulilah siapa. Kerisauan barang-barang kasi turun, itu sahaja yang saya mahu. Turunkan sikit barang makan,” katanya.

Katanya, dia mengundi Redzuan pada PRU ke-14 lalu tetapi enggan menamakan parti yang akan diundinya pada kali ini.

Redzuan Md Yusof

Penyokong BN, Roziah, juga kelihatan tidak pasti siapa yang akan dipilih pada PRU nanti.

Peniaga gerai itu memberitahu Malaysiakini bahawa walaupun dia mungkin mengundi BN sekali lagi, dia akan memilih calon yang boleh menyelesaikan masalah penduduk di situ.

Alor Gajah adalah salah satu daripada enam kerusi parlimen di Melaka, dan antara yang terbesar di negeri ini secara geografi.

Sehingga 2018, 61 peratus pengundinya adalah Melayu.

Di sebalik demografi tersebut, sejak 2004, BN dan pembangkang telah meletakkan calon berketurunan Cina di kerusi itu.

Dulu suka, kini benci

Dengan latar belakang ini, PH mengambil risiko pada 2018 dengan memberikan kerusi itu kepada Bersatu - yang memenangi kerusi itu dengan 50.7 peratus undi dalam pertarungan tiga penjuru.

Redzuan kemudiannya dilantik sebagai menteri.

Ketika dihubungi Sabtu lalu, Redzuan mengesahkan hasrat untuk bertanding di kerusi Alor Gajah pada PRU akan datang, tetapi menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan muktamad.

“Saya berhasrat meneruskan urusan saya yang belum selesai di kawasan pilihan raya ini dan boleh melakukan lebih banyak lagi (untuk pengundi).

“Kami kehilangan masa dua tahun untuk berkhidmat dengan berkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada Malaysiakini.

Namun keputusan Bersatu keluar daripada PH pada 2020 dan membentuk PN bersama-sama dengan PAS mungkin menyebabkan Redzuan kehilangan sebahagian undi.

Loganathan yang merupakan salah seorang penyokong Redzuan pada PRU lalu, mengakui sukar untuk mengundi ahli politik berkenaan sekali lagi.

Meskipun mengakui keupayaan pemimpin Bersatu itu sebagai wakil rakyat, dia tetap bertegas mahu mengundi mana-mana parti komponen PH yang bertanding di kerusi itu.

“Memang bencilah (BN). Dulu suka lepas tu bila dia (Bersatu) lompat macam tu, memang saya tak suka,” katanya.

Sementara itu, peniaga ayam, Saddiq Hasan, yang konsisten mengundi calon PH sebelum ini berkata, dia belum dapat memutuskan siapa yang akan diundi bulan depan.

“Dia tu bagus… Pak Wan. Dia selalu turun padang. Saya mengundi PH dari dulu.

“Bersatu ni saya tengok pun susahlah (untuk diundi).

“BN bukan tak baik. Dulu dia baik tapi hari ini dia banyak rasuah, dia tak ingat rakyat dia, dia ingat kepentingan dia saja,” kata warga emas berusia 75 tahun itu.

Peratusan mengundi rendah

Individu lain yang mengundi Redzuan pada 2018 memiliki pendapat berbeza mengenai kekerapan ahli parlimen itu turun padang.

Mohamad Ridzuan, 28, mendakwa penyandang ahli parlimen berkenaan jarang turun ke kawasan itu.

Ridzuan yang sebelum ini mengundi PH memberitahu Malaysiakini yang dia tidak mempunyai masalah dengan PN sebagai sebuah gabungan, namun memandang serius mengenai prestasi Redzuan pada penggal sebelum ini.

Pertandingan antara parti yang bertanding di Alor Gajah dijangka sengit.

Semasa pilihan raya negeri Melaka pada 2021, BN memenangi kesemua lima kerusi DUN di kawasan itu.

Bagaimanapun, di empat kerusi itu, BN menang dengan hanya sekitar 40 peratus undi - dengan PH dan PN mengekori rapat di belakang.

Satu-satunya kerusi DUN di Alor Gajah yang dimenangi BN dengan lebih 50 peratus undi ialah Asahan.

Bagaimanapun jumlah pengundi yang mengundi di Alor Gajah pada pilihan raya negeri itu hanya tinggi sedikit berbanding 2018 - menunjukkan peratusan keluar mengundi yang rendah.

Dengan kemasukan pengundi baru - terutamanya golongan belia berumur 18 hingga 20 tahun yang tidak dapat mengundi pada pilihan raya negeri lalu, peratusan keluar mengundi yang tinggi boleh mengubah keadaan.

Selain Bersatu dan Umno, DAP dijangka bertanding di kerusi itu sekali lagi bagi mewakili PH.