Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Saifuddin sedia pertahan Indera Mahkota

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Saifuddin Abdullah hampir pasti mempertahankan kerusi parlimen Indera Mahkota yang dimenanginya pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkata, namanya sudah dicadangkan oleh PN Bahagian Indera Mahkota kepada pucuk pimpinan untuk bertanding semula di kerusi berkenaan.

"Kalau ikut bahagian saya (Bersatu Indera Mahkota) dan PN Indera Mahkota, mereka mencadangkan saya bertanding semula di sini (parlimen Indera Mahkota).

"Saya bersedia untuk bertanding semula, apa-apa pun, bergantung kepada keputusan yang akan dibuat oleh majlis tertinggi PN," katanya ketika ditemui media selepas program gerai prihatin rakyat peringkat PN Indera Mahkota di Kuantan, hari ini.

Program itu menawarkan pakej barangan dapur merangkumi beras, minyak masak, ayam segar, bawang dan kentang pada harga RM30.

Saifuddin memenangi kerusi parlimen Indera Mahkota pada PRU14 dengan majoriti 10,950 undi.

Dia yang ketika itu mewakili Pakatan Harapan (PH) mendapat 28,578 undi menewaskan calon daripada BN, Dr Johan Mat Sah (17,628 undi) dan calon PAS, Nasrudin Hassan Tantawi ( 17,515 undi).

Ketika diminta mengulas mengenai calon menteri besar jika PN Pahang berjaya menumbangkan kerajaan Pahang yang kini diterajui Umno, Saifuddin berkata, kemungkinan besar calon dari PAS akan mengisi jawatan itu.

"Dalam PN (Pahang), kita tak berebut untuk bertanding di kerusi dewan undangan negeri (DUN) atau parlimen dan kalau dikira, saya (Bersatu) pengerusi PN Pahang, tetapi kerusi DUN paling banyak ditandingi calon daripada PAS.

"Kebiasaanya, parti yang paling banyak kerusi DUN akan dipilih sebagai MB (menteri besar), jadi boleh dikatakan, calon MB adalah daripada PAS," katanya lagi.

Saifuddin turut memaklumkan penyerahan watikah kepada semua calon PN Pahang akan diadakan beberapa hari sebelum hari penamaan calon.

"Biasanya watikah ini diberikan beberapa hari sebelum penamaan calon, bagi PN Pahang, kita bukan saja serah watikah, kita juga akan meminta semua calon parlimen dan DUN angkat sumpah ikrar untuk tidak terlibat dalam rasuah," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis mengumumkan tarikh penamaan calon untuk PRU15 ditetapkan pada 5 November, manakala tarikh untuk pengundian awal 15 November dan tarikh mengundi pula pada 19 November ini.