MIC akan tanding tiga kerusi parlimen, tiga DUN di Perak
MIC akan bertanding tiga kerusi parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu disahkan oleh timbalan presiden parti M Saravanan.
"MIC telah mengenal pasti tiga kerusi parlimen dan tiga kerusi DUN) di Perak. Kita telah selesai rundingan kerusi hampir 80 peratus. Tinggal sedikit lagi.
"Senarai kerusi itu akan diumumkan oleh presiden parti (SA Vigneswaran) dan Pengerusi Barisan Nasional (Ahmad Zahid Hamidi) dalam masa terdekat," katanya.
Dia berkata demikian selepas merasmikan Majlis Program Penerangan dan Kesihatan Pekerja di Pusat Komuniti Kampung Batu 3, Temoh, hari ini.
Bagaimanapun, Saravanan penyandang kerusi parlimen Tapah selama tiga penggal tidak mendedahkan bakal calon MIC berkenaan.
Difahamkan, MIC akan mengekalkan dua kerusi parlimen tradisi Sungai Siput dan Tapah.
Vigneswaran dijangka akan bertanding di Sungai Siput manakala Saravanan mempertahankan kerusi Tapah.
Sementara itu, MIC setuju menggantikan parlimen Cameron Highlands dengan Teluk Intan selepas satu perjanjian dibuat bersama Umno baru-baru ini.
Bagi kerusi DUN Perak, komponen BN itu dijangka akan bertanding di Buntong, Sungkai dan Behrang.
Sementara itu, Saravanan juga tidak menolak kemungkinan ada pertukaran kerusi dengan komponen BN yang lain.
"MIC memang sedia menerima untuk pertukaran.
"Kalau kita lihat kita tidak boleh dan komponen lain boleh kita sedia bincang," katanya.
Pada PRU14, parti itu bertanding dua kerusi parlimen dan tiga kerusi DUN di Perak. Dan hanya memenangi kerusi parlimen Tapah sahaja.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai