Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lim: PM jangan pilih-pilih syor pasukan siasat buku Thomas

Perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob digesa supaya tidak memilih-milih syor daripada laporan pasukan petugas khas mengenai buku bekas peguam negara (AG) Tommy Thomas, yang tersedia secara umum semalam.

Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng berkata Ismail tidak boleh berbuat demikian dengan niat semata-mata untuk memanfaatkannya secara politik dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Lim turut menyoal jika naib presiden Umno itu akan menerima pakai syor pasukan petugas khas untuk menggalakkan kebebasan kehakiman berhubung pelantikan hakim dan mengasingkan Peguam Negara daripada pejabat pendakwa raya.

“Adakah Ismail menerima pakai syor oleh pasukan petugas khas ini untuk mempromosikan kebebasan kehakiman daripada campur tangan politik,” kata Lim pada satu kenyataan hari ini.

Kabinet menubuhkan pasukan petugas itu tahun lepas untuk menyiasat buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang mendokumentasikan Thomas sebagai peguam negara.

Laporan itu telah didedahkan oleh kabinet pada 30 Sept dan tersedia untuk tatapan umum malam tadi.

Dalam perhimpunan di Bagan Datuk pada 17 Okt, Ismail Sabri mengakui bahawa diatelah mendedahkan laporan yang memperincikan siasatan Putrajaya terhadap buku Thomas supaya ia boleh digunakan sebagai "peluru politik" untuk menyerang Pakatan Harapan.

Dia menggesa jentera pilihan raya Barisan Nasional untuk menjadikan penemuan itu sebagai "modal" menyerang pesaingnya dalam kempen pilihan raya umum akan datang.

Menjawab perkara ini, Lim berkata ia adalah "penyalahgunaan kuasa yang jelas".

“AG mempunyai kewajipan berkanun untuk bertindak secara bebas tanpa campur tangan politik tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Pengakuan terbuka Ismail bahawa dia telah mengarahkan Peguam Negara untuk bertindak kerana memberi keuntungan politik kepada Umno, jelas melanggar peranan Peguam Negara dalam kebebasan berkanun serta membuat sebarang penyiasatan dan pendakwaan seterusnya mala fide atau dengan niat jahat.

“Sebarang pertuduhan sebegitu yang difailkan terhadap Thomas di mahkamah sepatutnya ditolak sebagai salah laku pendakwaan kerana ia secara semula jadi berat sebelah, prejudis dan bermotifkan politik tanpa ada kaitan dengan menegakkan keadilan,” katanya.