Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hak Mahathir nak berkawan dengan siapa saja - Ismail Sabri

PRU15 | Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob berkata, pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad berhak menentukan dengan siapa dia mahu bekerjasama untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, semua keputusan berkaitan kerjasama membabitkan Pejuang atau Gerakan Tanah Air (GTA) yang diterajui Mahathir adalah hak mereka untuk tentukan.

"Mahathir nak berkawan siapa terserah kepada dia, nak berkawan dengan Anwar (Ibrahim) ke nak berkawan dengan DAP ke, nak berkawan dengan siapa terserah kepada dia.

"After all dulu pun dia pernah berkawan, hak dia la kan, takkan kita nak komen," katanya ketika ditemui media selepas majlis penyampaian sumbangan dan penyerahan komputer #thetaCares di Bera, hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan Mahathir bertemu Anwar sebagai usaha menyekat Umno dan BN daripada menjadi kerajaan selepas PRU15.

Mahathir dalam satu klip video disiarkan di laman sosial Facebook rasmi miliknya semalam memberitahu akan memulakan langkah menemui Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) jika itu yang diperlukan dalam mencapai misi itu.

"Untuk mengalahkan kejahatan yang sangat merosakkan negara, saya perlu bekerjasama dengan bekas-bekas musuh saya yang juga bersetuju menyekat kejahatan tersebut.

“Kerana itu saya bersedia bertemu Anwar kerana saya percaya dia juga berfikir semacam dengan saya.

“Jika saya yang perlu memulakan langkah, saya akan lakukan,” kata bekas perdana menteri itu.