Mekanik lumpuh terlepas hukuman sebat
Seorang mekanik lumpuh yang disabitkan kesalahan memiliki dadah terlepas tiga sebatan selepas Mahkamah Tinggi membatalkan hukuman itu yang dijatuhkan kepadanya pada 2020.
Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman memutuskan demikian selepas dimaklumkan mengenai kesihatan tertuduh, Ben Khaled Abd Molok, 42, yang tidak sesuai untuk dilaksanakan hukuman sebat atas kesalahannya memiliki 17.71 gram dadah jenis methamphetamine.
“Mahkamah menggunakan budi bicara Seksyen 291 Kanun Tatacara Jenayah untuk meminda hukuman itu. Maka mahkamah ‘remit’ (membatalkan) hukuman (sebatan) tersebut atas faktor kesihatan,” katanya.
Ben Khaled yang lumpuh dari pinggang ke bawah, sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun serta tiga sebatan oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada 17 Ogos 2020 atas kesalahan itu yang dilakukan di sebuah bengkel kereta di Jalan Tago, Taman Perindustrian Tago, Sri Damansara, Gombak pada 4 petang, 12 Feb 2019.
Dia dihukum mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 A (1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan hukuman sebat tidak lebih sembilan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail memaklumkan mahkamah mempunyai bidang kuasa di bawah Seksyen 291 Kanun Tatacara Jenayah untuk meminda hukuman tiga sebatan yang dikenakan terhadap Ben Khaled memandangkan doktor penjara mengesahkan dalam laporannya bahawa lelaki itu tidak sesuai untuk disebat.
Peguam Ben Khalid, Hafizuddin Salehuddin ketika ditemui di luar mahkamah berkata anak guamnya sebelum ini telah selesai menjalani hukuman penjara yang bermula pada 12 Feb 2019 iaitu tarikh tangkapnya.
"Ben Khaled telah bebas sepenuhnya daripada kesalahan tersebut selepas mahkamah membatalkan hukuman sebatan. Dia akan dibebaskan selepas segala proses dokumentasi di penjara selesai," katanya.
Rabu lepas, Ben Khalid yang sebelum ini turut disabitkan kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 10.53 gram, terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan itu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said dalam melepas dan membebaskannya, memutuskan sabitan mengedar dadah terhadap Ben Khalid tidak selamat.
Hafizuddin pada prosiding Rabu berkata Ben Khaled lumpuh pada 2020 akibat tuberkulosis yang menjejaskan tulang belakangnya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai