Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Laporan: KJ mungkin berdepan pegawai MB di Kuala Pilah

Spekulasi timbul mendakwa Umno akan mencalonkan Khairy Jamaluddin di kerusi Parlimen Kuala Pilah pada PRU15.

Menurut laporan Sinar Harian yang memetik sumber, menteri kesihatan sementara itu memerlukan "kerusi selamat" yang dapat menjamin kemenangannya memandangkan dia adalah aset kepada Umno.

"Jadi kerusi Port Dickson tidak sesuai buat Khairy dan ada juga cadangan untuk letakkan beliau di Kuala Pilah, tengoklah nanti keputusan parti macam mana," kata sumber Umno itu seperti dipetik.

Khairy merupakan penyandang ahli parlimen Rembau dan sudah memegang kerusi itu selama tiga penggal.

Namun, dia terpaksa memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan di situ pada PRU kali ini.

Susulan itu, beberapa Umno bahagian di pelbagai negeri secara terbuka menawarkan kerusi kepada Khairy.

Umno juga dikatakan akan meletakkan Khairy di Port Dickson - kerusi pembangkang sejak 2008.

Sementara itu, laporan Sinar Harian turut menyatakan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan Norazman Mohamad disebut akan bertanding di Kuala Pilah.

Memetik sumber PKR, laporan itu berkata Norazman memiliki beberapa kelebihan kerana dia merupakan anak tempatan dan merupakan pegawai kepada menteri besar Aminuddin Harun.

"Kita tahu Kuala Pilah merupakan antara kubu kuat Umno dan memberi cabaran besar buat PH.

"Tapi dengan pengalaman Norazman selain menjawat jawatan penting dalam PKR Negeri Sembilan dan pada masa sama berasal dari Kuala Pilah, ia menjadi faktor kenapa dia dipilih," katanya seperti dipetik.

Ketika PRU 2018, calon Bersatu Eddin Syazlee Shith merampas kerusi itu dari Umno hanya selepas meraih 44.8 peratus undi.

Terdapat lima kerusi DUN dalam Parlimen Kuala Pilah. Umno pada masa ini memegang empat kerusi, iaitu Juasseh, Seri Menanti, Senaling dan Johol.