Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Loke beri gambaran PH menang majoriti mudah, Anwar PM ke-10

Dengan gendang perang PRU15 sudah dipalu, apakah yang mungkin akan berlaku sebulan dari sekarang, apabila berakhirnya hari mengundi pada 19 November?

Berucap dalam Konvensyen PH di Ipoh malam tadi, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke membayangkan kejayaan gabungan itu dalam merampas semula Putrajaya.

Menyuarakan harapan mereka akan meraih majoriti mudah 112 kerusi di Dewan Rakyat, Loke turut membayangkan Pengerusi PH Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kesepuluh.

"Bayangkan, sebulan dari sekarang, selepas pusat mengundi ditutup, kita akan berkumpul seperti malam ini di Kuala Lumpur.

"Menjelang satu pagi 20 November, kita menonton skrin LED di depan kita, siaran langsung Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh umumkan kita menang kerusi ke-112. Maka, kerajaan PH akan ditubuhkan.

"Tak lama kemudian, setiausaha agung PH (Saifuddin Nasution Ismail) dapat panggilan dari istana untuk undang pengerusi kita menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam sembilan pagi keesokannya, untuk angkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10," kata Loke.

Dia berkata demikian dalam ucapan penuh semangatnya di hadapan kira-kira 7,000 anggota dan penyokong PH di Pusat Konvensyen Ipoh malam tadi.

Mengakui dia seorang yang memiliki impian dan cita-cita tinggi, Loke yang merupakan penyandang ahli parlimen Seremban berkata ia boleh menjadi realiti jika semua anggota PH bersatu.

"Bagaimana kita dapat capai ini? Sepanjang dua tahun ini, PH hadapi banyak cabaran. Selepas 'Langkah Sheraton', kita lalui banyak kesukaran.

"Ia terletak pada kepimpinan PH, berkenaan hala tuju dan jika kita nak guna logo (PH).

"Tapi malam ini, saya gembira untuk katakan yang kita hanya ada seorang ‘commander-in-chief’ iaitu Anwar Ibrahim," katanya lagi.

Justeru, dia berkata DAP akan terus menyokong Anwar "bukan kerana dia Anwar Ibrahim, tetapi dia berprinsip dan konsisten dengan perjuangan menentang rasuah dan melaksanakan reformasi".

Konvensyen semalam turut menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri PH dan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun di negeri itu.

[Baca berita asal]