Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahdzir: Mana ada kementerian nak tebang balak di Negeri Sembilan

Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid berkata sesebuah kementerian perlu mendapatkan izin kerajaan negeri terlebih dahulu jika mahu menebang hutan bagi tujuan membina jalan raya.

“Kita (KPLB) ni di persekutuan, apa yang kita nak buat, kita kena pergi state (kerajaan negeri).

“Mana ada pula KPLB nak pergi tebang balak di Negeri Sembilan, nak buat apa?

“(Perkara ini) mesti juga dapat kelulusan (negeri). Tanah, air di bawah (bidang kuasa) negeri, (begitu juga) soal agama di negeri.

“Kalau federal nak buat apa-apa, mesti minta kat negeri. Itu peraturan sedia ada dari merdeka sehingga hari ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Institusi Pendidikan TVET di Hotel Premiera, Kuala Lumpur hari ini.

Dia berkata demikian apabila diminta pengesahan mengenai pengumuman dari Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan yang membuka tender membalak dalam kawasan hutan simpan kekal di Negeri Sembilan

Ini memandangkan terdapat iklan notis daripada Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan bertarikh 5 Okt lalu yang mempelawa tawaran kontrak untuk mengeluarkan balak dari beberapa petak di hutan simpan Lenggeng dan hutan simpan Gapau.

Notis itu menyatakan, tender tersebut melibatkan kawasan seluas 94.66 hektar atau bersamaan dengan lebih 130 padang bola sepak.

Menurut notis tersebut, tender berkenaan adalah untuk membuka laluan kepada kerja-kerja pembinaan jalan yang didakwa bawah KPLB di antara Kampung Ganu dan Ulu Beranang.

Tawaran untuk tender berkenaan hendaklah dikemukakan sebelum tengah hari 26 Okt ini.

Malaysiakini telah menghubungi kerajaan Negeri Sembilan bagi mendapatkan penjelasan tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas.