Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bersatu, PAS T'ganu sepakat hanya calon baik, boleh menang dipilih

PRU15 | Perbincangan pembahagian kerusi di antara Bersatu dan PAS Terengganu berjalan dengan sangat baik melalui formula yang dipersetujui bersama.

Pengerusi Bersatu Terengganu, Razali Idris, berkata kedua-dua parti bersetuju hanya calon yang boleh menang serta memiliki ciri yang baik dipilih untuk mewakili Perikatan Nasional (PN).

Ketika dihubungi Malaysiakini, Razali berkata, PN tidak sekadar mahu memperkenalkan calonnya kepada orang ramai sebaliknya mahu memastikan mereka mampu memberikan khidmat kepada masyarakat.

Turut diperhatikan, katanya, ialah prestasi mereka selepas pilihan raya umum lalu.

"PN cuma cari calon yang boleh menang dan baik, muda serta ada kredibiliti sebagai wakil rakyat.

"Kami nak pastikan selepas pilihan raya lepas, khidmat dia (kepada orang ramai) macam mana. Itu semua diambil kira," katanya.

Razali juga menjelaskan cadangan Bersatu Terengganu untuk mencalonkan Rosol Wahid untuk mempertahankan kerusi Hulu Terengganu yang dimenanginya pada 2018.

Pada PRU ke-14 kira-kira empat tahun lalu, Rosol memenangi kerusi berkenaan - melalui tiket Umno/BN - dengan mengalahkan Muhyidin Abdul Rashid dari PAS dan Razali sendiri dengan kelebihan 2,868 undi.

Ketika itu Razali serta Bersatu merupakan sebahagian daripada komponen Pakatan Harapan (PH).

Rosol Wahid

Selepas PH membentuk kerajaan pusat dan sebahagian besar negeri, Rosol meninggalkan Umno untuk menjadi wakil rakyat bebas sebelum akhirnya menyertai Bersatu.

Secara keseluruhan ada lapan kerusi parlimen di Terengganu. Dalam PRU ke-14 lalu enam daripadanya dimenangi PAS. Satu lagi kerusi - Besut - dimenangi oleh Idris Jusoh (Umno/BN).

Ketika Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri, Rosol dilantik menjadi timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.

Kata Razali cadangan meletakkan Rosol di Hulu Terengganu diterima sebulat suara oleh PN.