Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Persiapan banjir di Klang tergendala lepas Parlimen bubar

Sebagai daerah dengan kawasan berisiko banjir tertinggi, Klang dan penduduknya mungkin tidak bersedia berdepan satu lagi bencana iklim ketika musim tengkujuh kali ini.

Penyandang ahli parlimen Klang Charles Santiago berkata persediaan menghadapi banjir yang telah dibuatnya, penduduk kawasan berisiko tinggi dan juga pasukan penyelamat turut tergendala apabila Parlimen dibubarkan.

Permintaan Charles - yang telah disuarakannya beberapa kali - agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan perancangan mereka untuk pengundi di kawasan itu jika banjir berlaku ketika hari mengundi, juga masih tidak dijawab.

Menceritakan berkenaan persediaan yang tergendala, dia berkata ia termasuklah latihan simulasi banjir untuk penduduk dan penyelamat yang merupakan tahap terakhir dalam pelan tiga tindakan bagi menghadapi bencana itu.

Menurutnya, simulasi itu berdasarkan pengalaman keadaan huru-hara yang berlaku pada tahun lalu, di mana kawasan yang jarang ditimpa banjir turut ditenggelami air.

Charles Santiago

Dia berkata latihan dua hari melibatkan 30 persatuan penduduk di Klang dan 15 NGO sepatutnya dikendalikan oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Persediaan sudah berada di tahap akhir namun latihan itu telah dibatalkan, katanya lagi.

"Simulasi sepatutnya diadakan di lokasi khas yang mampu menampung air dan direka untuk menguji tahap kesediaan penduduk dan penyelamat, memberikan mereka latihan yang sebenar (real-life) namun ia terpaksa dibatalkan," keluhnya.

'Penduduk perlu bersedia'

Charles dan pasukannya sudah mengadakan rondaan banjir di Taman Bayu Perdana dan Taman Melawis bersama-sama penduduk di situ, memantau infrastruktur dan mengenal pasti kawasan berisiko banjir.

Pasukannya juga telah melakukan latihan membina kapasiti agr penduduk sedia untuk bertindak dan saling membantu.

"Realitinya, apabila kawasan penduduk mula banjir, ia menjadi kelam-kabut kerana ada kala rumah first responder juga banjir.

"Jadi, amat penting untuk penduduk bersedia membantu diri mereka," katanya.

Kata Charles lagi, dia telah mendapatkan komitmen dari dua penduduk yang memiliki bot yang akan digunakan dalam operasi menyelamat jika banjir melanda.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Klang menjadi daerah dengan titik panas dan kawasan berisiko paling banyak, masing-masing dengan 14 dan 65 kawasan.

Kawasan titik panas banjir adalah kawasan yang telah dilanda banjir lebih tiga kali sejak 2019.

Selepas banjir besar akhir tahun lalu, pertemuan telah dibuat melibatkan persatuan penduduk di kawasan terjejas dengan pakar kejuruteraan bagi membincangkan isu perubahan iklim dan sistem pengairan dan saliran di daerah itu.

Katanya lagi, caj untuk perunding kejuruteraan itu mencecah RM350,000 dan dia telah menyerahkan cadangan daripada perbincangan kepada Exco Infrastruktur dan Pertanian Izam Hashim.

Penduduk di muara tak dilindungi

Tinggal di Kampung Nelayan, Teluk Gong yang terletak di pinggir muara Sungai Klang, Mohd Jeffri, 35, berkata dia belum pulih daripada banjir tahun lalu yang melanda rumahnya.

Ketika itu, katanya, air naik sehingga paras dada. Dia turut menunjukkan timbunan peralatan elektrik yang rosak, termasuk televisyen, kipas dan barangan keperluan lain.

Dia berkata tidak sampai hati untuk membuangnya.

Dia berkata rumahnya, di mana dia tinggal sejak kanak-kanak, sentiasa dilanda banjir jika berlaku hujan lebat.

"Sekarang, kurang lima minit hujan lebat, air sudah naik sekaki.

"Tapi ini kerana kedalaman longkang tak sampai sekaki," katanya, menunjukkan longkang di rumahnya yang telah dilitupi tumbuhan.

Mohd Jeffri

Longkang di sepanjang Jalan Teluk Gong - jalan utama yang dipenuhi kawasan perumahan dan industri - juga tidak dalam dalam tersumbat dek tumbuhan dan sampah sarap.

Walaupun termasuk dalam senarai kawasan berisiko banjir di Klang, Kampung Teluk Gong kelihatan tidak bersedia.

Banjir yang berlaku di situ selepas bencana akhir tahun lalu turut menjejaskan kawasan industri di situ.

Sebuah kilang palet - yang tidak pernah dilanda banjir sebelum ini - dinaiki air buat kali pertama pada April lalu akibat kenaikan paras laut yang berpunca daripada perubahan iklim, kata Charles.

Buaya sesat

Di jeti nelayan yang tidak jauh dari situ, Jabatan Bomba dan Penyelamat mengeluarkan amaran agar kanak-kanak tidak lagi mandi di sungai selepas seekor buaya dikesan.

Ejan Abu

Ejan Abu, jurukemudi bot yang membawa pemancing dari jeti ke kelong, berkata antara perkara kegemarannya ketika kanak-kanak adalah mandi di sungai itu.

"Sekarang, akibat banjir dan air pasang, buaya ada di kawasan ini. Ada banyak buaya di Sungai Klang dan mereka mungkin sesat.

"Tapi kita tak boleh ambil risiko nyawa anak-anak kita," katanya lagi.