Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penduduk mahu projek pembangunan Bukit Dinding jadi isu PRU15

Bukit Dinding, llokasi rekreasi popular di Kuala Lumpur kini menjadi isu bagi calon yang ingin bertanding di kerusi Parlimen Setiawangsa.

Ribuan penduduk sekitar membantah projek pembangunan di situ dan laporan polis dibuat terhadap dakwaan kenyataan palsu yang dibuat syarikat pemaju Nova Pesona Sdn Bhd pada Isnin lalu.

Kebanyakan yang membantah adalah penduduk Setiawangsa dan Wangsa Maju, yang rata-ratanya sudah tinggal di situ sejak 1990-an dan tahu berkenaan tanah runtuh dan bencana lain yang berlaku di bukit itu selama ini.

Mantan ahli jawatankuasa Persatuan Penduduk Muafakat Seksyen 5 Sri Utami Dewi Kasman berkata calon yang ingin bertanding di Parlimen Setiawangsa perlu menjuarai usaha menyelamatkan Bukit Dinding dan melindungi para penduduk yang menyuarakan bantahan.

Bantahan turut disertai persatuan penduduk di Wangsa Maju, antaranya Lojing Heights 1, Waizuri 1, Waizuri 2 dengan jumlah penduduk dianggarkan 2,400 orang.

Sementara itu, 6,000 penduduk Setiawangsa yang tinggal di sekitar Bukit Dinding telah menyuarakan bantahan kepada DBKL yang meluluskan projek pembangunan dua blok kondominium di situ pada 25 September lalu.

Pada 2014, DBKL mengisytiharkan bukit tersebut sebagai "risiko tinggi" untuk berlaku tanah runtuh dan maka kelulusan yang diberikan pada Mac lalu mengejutkan para penduduk.

Penduduk Setiawangsa, Mustafa Kamal Abdul Aziz berkata semua calon akan memberikan janji yang serupa namun penduduk akan memilih calon yang dapat mengetuai bantahan mereka.

"Penyandang Nik Nazmi Nik Ahmad giat berhubung dengan pakar untuk memberi nasihat kepada kami dan menggesa DBKL memberikan jawapan," kata pensyarah itu.

Nik Nazmi beberapa kali menyertai penduduk dalam menggesa DBKL untuk mengemukakan dokumen penting di sebalik keputusan untuk meluluskan projek.

Kawasan hijau Bukit Dinding berkeluasan 121 hektar adalah milik persendirian sejumlah pihak.

Tanah runtuh

Penduduk telah menunjukkan imej tanah runtuh yang berlaku di Bukit Dinding seawal April 2001. Begitu juga dengan imej insiden pada 2011 yang masih menghantui penduduk sekitar.

Kajian berhubung tanah runtuh bertajuk "Sejarah tanah runtuh di Malaysia 1993-2019" menyifatkan insiden pada 2011 sebagai bencana, dengan 88 penduduk banglo, rumah kedai dan rumah dua tingkat diarah untuk berpindah.

Pemaju dakwa EIA sah

Kelulusan projek yang diberikan melibatkan kawasan seluas 2.4 hektar - sebahagian daripada kawasan 52 hektar yang dimiliki Nova Pesona.

Pengarah Jabatan Perancangan Bandaraya DBKL Zulkurnain Hassan meluluskan rancangan pembangunan pada 28 Mac lalu namun penduduk sekitar tidak dimaklumkan berkenaan perkara itu.

Namun Nova Pesona berkata laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) yang dibuat pada 2017 masih sah.

Menurut laporan itu, ia diselesaikan pada 2014 dengan unsur geoteknikal diperiksa oleh Ikram Premier Consulting dan diberi kelulusan bersyarat setahun kemudian.

Laporan polis

Setakat ini, dua laporan polis telah dibuat terhadap Nova Pesona. Ia dibuat oleh Persatuan Penduduk Muafakat Seksyen 5, Persatuan Penduduk Lojing Heights 1, Persatuan Penduduk Waizuri 1 dan Persatuan Penduduk Waizuri 2.

Kedua-dua laporan berhubung dakwaan kenyataan palsu yang dibuat Nova Pesona, bahawa kebanyakan penduduk Seksyen 5 Wangsa Maju setuju dengan rancangan pembangunan.

[Baca berita asal]