Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kes culik warga Palestin: Jangan spekulasi, kata polis

Polis meminta orang ramai tidak menimbulkan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat dalam kes penculikan warga Palestin di Kuala Lumpur bulan lalu.

“PDRM masih meneruskan siasatan dan menunggu proses sebutan semula kes pada 15 Disember 2022,” kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah.

Dalam kenyataan hari ini, Acryl Sani mengesahkan 11 individu yang dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 14 Oktober merupakan suspek dalam kes penculikan lelaki Palestin.

Penculikan itu, katanya, bagi mendapatkan maklumat mengenai perisian untuk menggodam telefon bimbit. 

Laporan media menyebut mereka yang dituduh terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita berumur antara 21 hingga 42 tahun, seperti berikut:

Edy Ko’im Said, 40 tahun 
Mohamad Norakmal Hassan, 41
Dody Junaidi, 42
Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39
Mohamad Naziree Mustapha, 39
Faizull Hardey Mohd Isa, 40
Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25
Mohamad Sufian Saly, 23
Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 21
Nidarahayu Zainal, 34
Raibafie Amdan, 39.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan kerana kes itu bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama menahan Omar ZM Albelbaisy Raeda, 31, dengan tidak berpatutan untuk mendapatkan rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang, Kuala Lumpur pada 28 September yang didakwa bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau dipenjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan dibenarkan kerana kesalahan itu tidak boleh diikat jamin. 

NST awal pagi semalam melaporkan ejen risikan Israel Mossad menjalankan operasi di Malaysia, dalam perang terhadap Hamas yang dilabel rejim Zionis sebagai pengganas.


Baca: Culik warga Palestin: Polis belum dapat sahkan Mossad terlibat



Menurut akhbar itu, mereka merekrut penduduk tempatan.

Laporan itu bagaimanapun menyebut mangsa yang dikaitkan dengan Hamas dan sayap bersenjatanya Briged Izz ad-Din al-Qassam itu diselamatkan oleh polis Malaysia.