PH mahu robek undi Melayu bermula di Perak
Dengan gelombang penentangan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, ditambah dengan penglibatan Bersatu yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad, PH melebarkan pengaruh ke kubu kuat BN di kawasan Melayu luar bandar pada PRU 2018.
Mendapat kelebihan daripada sistem first past the post (FPTP), PH menang di banyak kerusi tersebut, terutama di Perak dan Johor.
Namun sokongan masyarakat Melayu luar bandar tidak bertahan lama dan ia dapat dilihat menerusi keputusan PRK Tanjong Piai lebih setahun kemudian.
Ia diburukkan lagi dengan keluarnya Bersatu daripada PH.
Perpecahan undi di kawasan Melayu luar bandar membolehkan Umno menang di kawasan yang menyaksikan pertembungan banyak penjuru, dan seterusnya menang majoriti dua pertiga dalam PRN Johor dan Melaka.
Kerusi-kerusi ini - lazimnya terletak di luar bandar dan lebih konservatif berbanding kawasan bandar yang menjadi kubu PH - adalah penting jika gabungan itu ingin sekali lagi mentadbir kerajaan persekutuan, atau sekurang-kurangnya menafikan majoriti dua pertiga BN.
Namun tanpa sekutu baru untuk menarik sokongan pengundi di kawasan ini, PH nampaknya menggunakan kembali strategi sebelum ini yang telah memberikan hasil yang memberangsangkan - pertaruhan berisiko tinggi yang fokus di satu negeri.
DAP menggunakan strategi ini - melibatkan pencalonan pemimpin veteran Lim Kit Siang - dengan jayanya di Johor pada PRU lalu. Ketika itu, DAP menambah kerusi Parlimen daripada satu kepada empat. Ia juga menjadi asas kepada kejayaan PH merampas negeri itu.
Pada PRU15, Perak nampaknya menjadi negeri tumpuan tersebut. Sasarannya adalah 11 kerusi yang dimenangi BN pada 2018 - yang mana tiga daripadanya kini dipegang Bersatu - dan satu-satunya kerusi yang dimenangi Bersatu pada tahun itu.
Selain Tapah, kesemua kerusi ini terletak di luar bandar dengan orang Melayu sebagai pengundi majoriti.
DAP dijangka membuat percubaan berisiko tinggi bagi membuktikan mereka bukan anti-Melayu dengan meletakkan bekas ketua pemudanya Howard Lee di Gerik yang hanya memiliki 14 peratus pengundi Cina.
PH Perak juga sedang mengusahakan agar Anwar Ibrahim bertanding di Tambun.
Pengerusi PH Perak Nga Kor Ming membayangkan Perak menjadi negeri utama untuk mengukuhkan kedudukan gabungan itu di Pantai Barat.
PH sudah menang di Perak sebanyak dua kali - pada 2008 dan 2018. Namun untuk menambah baik pencapaian tersebut, ia memerlukan mereka untuk memecahkan pengaruh BN di kawasan Melayu luar bandar dan ia bukanlah tugas mudah.
Pensyarah National University of Singapore Serina Rahman, yang telah menumpukan soal politik luar bandar sejak tujuh tahun lalu, berkata satu halangan utama PH adalah mesej yang dibawanya tidak bergema di luar Lembah Klang atau kawasan bandar.
"Kawasan Melayu luar bandar terdiri daripada orang yang nampaknya takut banyak perkara dan PH tidak memberikan penawar terhadap ketakutan itu. Takut hilangnya dominasi Melayu, soal raja, Islam...
"Isu seperti kesamaan, menangani rasuah - ramai yang sudah biasa dan tiada banyak kaitan dengan mereka kerana ia isu elitis - dan maka tidak disambut.
"Orang hanya nak tahu bagaimana ekonomi boleh menjadi bertambah baik dan mereka boleh dapat cukup pendapatan untuk sara kehidupan kalau boleh, ada simpanan," katanya kepada Malaysiakini.
Memburukkan lagi keadaan, katanya, 22 bulan pentadbiran PH dilihat pengundi di kawasan itu sebagai memburukkan lagi keadaan di lapangan dan ia meningkatkan lagi kerisauan mereka terhadap gabungan itu.
Berkenaan pencalonan Anwar di kawasan itu, Serina berkata ia juga mungkin tidak akan membawa impak yang diinginkan PH.
Ucapan dan idealisme Anwar mungkin memberi inspirasi kepada penyokongnya di kawasan bandar namun bagi Serina, ia juga sebahagian daripada terputusnya hubungan antara PH dengan Melayu luar bandar.
"Penduduk luar bandar sukar mengikuti ucapan muluk Anwar. Mereka perlukan ahli politik yang bercakap dengan mudah dan bercakap berkenaan keperluan mereka.
"Kebanyakan perbincangan berkenaan isu besar sukar dihadam mereka dan mereka tidak berminat," katanya.
Kata Serina lagi, populariti Anwar di luar kawasan bandar telah merosot ekoran bertahun-tahun propaganda.
"Ada rasa curiga. Saya fikir orang agak mudah terpengaruh dengan propaganda dimainkan BN selama ini...jadi mereka ingat cerita-cerita buruk dan merasa ragu," katanya lagi.
Untuk menghubungkan PH dan penduduk di luar bandar, kata Serina, langkah mengubah mesej tidak memadai tetapi apa yang diperlukan adalah keberadaan yang lebih aktif di lapangan.
Namun katanya ia mungkin sudah terlambat kerana pengundi merasa kecewa kerana ahli politik hanya turun padang ketika musim pilihan raya untuk memberi sumbangan dan menunaikan janji yang sekian lama diabaikan.
"Saya fikir langkah ini tidak berguna lagi. Orang semakin bijak," katanya.
Namun bagi Serina, perkara utama yang mungkin menjejaskan peluang PH adalah rasa tidak peduli di kalangan pengundi.
"Rakyat kecewa dan kemungkinan banjir juga sangat membimbangkan. Banjir sudah melanda di banyak kawasan dan setiap hari ada amaran (hujan lebat) daripada Jabatan Meteorologi.
"Hal-hal ini memang bermain dalam fikiran orang ramai, begitu juga dengan keadaan inflasi, ekonomi dan nilai ringgit yang merosot," katanya lagi.
"Walapun ahli politik menjanjikan sebaliknya, rakyat sudah dapat melihat melangkauinya," katanya lagi.
Dia berkata ia boleh membawa kepada peratus keluar mengundi yang rendah yang akhirnya memberi manfaat kepada Umno, memandangkan penyokong tegar parti itu lebih bersemangat untuk keluar mengundi.
PH akan mengadakan konvensyen di Perak esok. Beberapa pengumuman utama berkenaan PRU dijangka akan dibuat, termasuk pengagihan kerusi untuk parti komponen dan sekutunya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai