Ambiga: Siasatan buku Thomas 'tercemar' kerana Ismail Sabri
Ambiga Sreenevasan hari ini berkata hasil siasatan terhadap buku Tommy Thomas kini tercemar dengan adanya pengakuan Ismail Sabri Yaakob mengenai keinginan perdana menteri sementara menjadikan dapatan tersebut sebagai 'peluru' BN terhadap Pakatan Harapan (PH).
Kata peguam kanan itu, serangan terhadap bekas peguam negara berkenaan adalah sesuatu yang baru dan tidak pernah terjadi sebelum ini.
Dia juga menganggap langkah diambil Ismail Sabri tersebut sebagai suatu bentuk serangan ke atas pentadbiran sistem kehakiman negara.
"Untuk mengakui ia (laporan siasatan) memang disediakan untuk menjadi peluru politik membuktikan wujud niat jahat di sebaliknya.
"Sebarang siasatan yang dijalankan kini tercemar kerana ini jelas merupakan penindasan politik," kata Ambiga melalui Twitter.
Dalam perhimpunan BN di Bagan Datuk semalam, Ismail Sabri mengakui dia bersetuju menyahklasifikasi laporan siasatan Putrajaya terhadap buku Thomas, My Story: Justice in the Wilderness, agar ia boleh dijadikan 'peluru politik' bagi menyerang PH.
Naib presiden Umno itu juga menggesa jentera partinya untuk menjadikan dapatan siasatan tersebut sebagai modal menyerang pesaing mereka.
Arahan Ismail Sabri itu dibuat kira-kira seminggu selepas parlimen dibubarkan dan pilihan raya bakal dilangsungkan tidak lama lagi.
Ismail Sabri berkata dia juga sudah memaklumkan Peguam Negara Idrus Harun supaya mengambil tindakan segera terhadap Thomas di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), undang-undang fitnah dan lain-lain.
Untuk rekod Ismail Sabri mengumumkan bahawa laporan mengenai siasatan buku Thomas akan dinyahklasifikasikan tiga hari selepas parlimen dibubarkan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai