Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Bukan silibus Radzi Jidin' - Menteri maklum isu keciciran

Silibus yang digunakan di sekolah rendah dan sekolah menengah bukan "silibus Radzi Jidin" tetapi telah digunakan sejak 2017, kata menteri pendidikan itu.

Mohd Radzi Md Jidin berkata, proses merangka silibus baru akan mengambil masa sebelum ia boleh diterapkan di sekolah.

Katanya lagi, murid Darjah Satu pada 2017 akan menggunakan silibus sedia ada sehingga tamat Darjah Enam pada 2023, manakala murid sekolah menengah telah menghabiskan kurikulum mereka tahun lalu.

"Silibus yang digunakan sekarang sudah mula digunakan sejak 2017. Ini bukan silibus Radzi Jidin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Inisiatif 'Reading Progress' untuk sekolah kerajaan, di sebuah hotel di Shah Alam hari ini.

“Silibus ini tidak boleh ditukar secara kerap setiap tahun kerana ia akan menyukarkan guru dan murid untuk sesuaikan diri dengan silibus baru.

"Pendekatan kami adalah setiap silibus akan dinilai semula selepas habis satu pusingan," katanya lagi.

Radzi Jidin

Penjelasan itu di tengah kritikan yang disuarakan guru sekolah rendah, Mohd Fadli Salleh yang antara lain berkata mata pelajaran matematik untuk sekolah rendah terlalu tinggi.

Selain itu, dia turut membangkitkan masalah beg berat yang perlu digalas murid serta terlalu banyak mata pelajaran untuk mereka.

Mengulas kebimbangan Fadli, Razi berkata keciciran dalam pelajaran, terutama kebolehan untuk membaca, di kalangan murid sekolah rendah merupakan masalah yang dihadapi sejak sekian lama.

Katanya, Kementerian Pendidikan telah memberi perhatian khusus terhadap masalah itu serta mendengar pandangan semua pihak terlibat, selain mencari penyelesaian yang sesuai.

“Tentunya terdapat ruang untuk kami menambah baik dan untuk kami menukar pendekatan ini," katanya lagi.

Maklum bahawa PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat, dia berkata tidak wajar untuk "mempolitikkan" sistem pendidikan.

"Pendidikan perlu dipisahkan daripada politik," katanya lagi.