Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'KPM tak pernah tutup ruang untuk guru beri pandangan'

Kementerian Pendidikan tidak pernah menutup ruang buat para guru yang ingin menyatakan pandangan dan kebimbangan mereka, kata Mohd Radzi Md Jidin.

Sebaliknya, kata Radzi, semua pihak termasuk guru dan ibu bapa dialu-alukan memberi maklum balas berkenaan sukatan mata pelajaran dan dasar kementerian.

"Dalam mana-mana sesi perjumpaan dan dialog dengan guru, tidak ada sekali pun saya tutup ruang untuk guru beri pandangan.

"Misalnya dalam isu beg berat, kami mendengar luahan guru dan ibu bapa dan telah melaksanakan tujuh inisiatif utama (untuk menanganinya)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Inisiatif 'Reading Progress' untuk sekolah kerajaan, di sebuah hotel di Shah Alam hari ini.

Baru-baru ini, seorang guru sekolah rendah di Gombak, Mohd Fadli Salleh menyuarakan kebimbangan bakal dikenakan tindakan buang kerja atau turun pangkat selepas menyatakan kritikan secara terbuka.

Mohd Fadli

Antara yang disuarakannya adalah sukatan mata pelajaran matematik sekolah rendah yang menurutnya terlalu tinggi, terlalu ramai murid dalam kelas dan terlalu banyak mata pelajaran untuk murid.

Dia juga membangkitkan isu beg berat yang perlu digalas para murid, yang baginya tidak baik untuk kesihatan mereka.

Selepas mengundang perhatian ramai, perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob berkata dia berharap isu antara Mohd Fadli dan Kementerian Pendidikan dapat diselesaikan secara baik.

Hari ini, Radzi menjelaskan nasib Mohd Fadli tetap akan diputuskan lembaga disiplin kementerian itu.

“Ini bukan dalam ruang lingkup (saya), itu keputusan Lembaga. Ada sempadan dia.

"Keputusan (lembaga) dihantar kepada cikgu (Mohd Fadli) menerusi ketua jabatan hari ini," katanya lagi.