Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Di sebalik penggantungan, Tajuddin hadir acara Zahid di Bagan Datuk

Di sebalik penggantungan keahliannya dalam parti, penyandang kerusi parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, hadir menyertai acara perdana BN melibatkan Ahmad Zahid Hamidi dan Ismail Sabri Yaakob di Bagan Datuk, Perak semalam.

Bekas pengarah pilihan raya Umno Malaysia itu malah bersalaman dan beramah mesra dengan Ahmad Zahid yang juga presiden Umno itu ketika dia menerima Ikrar Aku Janji selaku ketua Umno Pasir Salak.

Malah pada satu ketika Tajuddin kelihatan cuba mencium tangan Ahmad Zahid ketika mereka bersalaman dan menerima ikrar berkenaan. Bagaimanapun, Ahmad Zahid - sambil tersenyum - pantas menarik tangannya untuk mengelak dicium Tajuddin.

Pada awal bulan ini, keanggotaan Tajuddin digantung selama enam tahun atas dakwaan membuat sidang media terbuka dan mengkritik Umno, khususnya Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid juga sebelum ini mengumumkan tindakan keras akan diambil Umno terhadap beberapa pemimpinnya yang dianggap melanggar disiplin parti.

Selain Tajuddin, dan Ketua Umno Alor Setar, Mohd Yusof Ismail, turut digantung keanggotaannya dalam Umno, manakala bloger Umno yang lantang bersuara, Zaharin Mohd Yasin, dipecat.

Kata Ahmad Zahid, keputusan itu dibuat kerana terdapat “anasir dalaman” yang berusaha memburuk-burukkan institusi kepimpinan parti dan memecah-belahkan organisasi terbabit.

Bagaimanapun, terdapat khabar angin bahawa penggantungan Tajuddin sudah ditarik balik.

Tajuddin sebelum ini pernah menepis dakwaan penggantungan keahliannya.

Tiada maklumat baru

Secara sinis Tajuddin mendakwa bahawa dia masih ahli Umno, dan penggantungan itu bukannya "hukuman mati".

Pada Jun lalu Tajuiddin disingkirkan daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno kerana menggelar Ahmad Zahid sebagai “liabiliti” dan menuntut bekas timbalan perdana menteri itu meletakkan jawatan.

Sebulan kemudian, nama Tajuddin digugurkan daripada senarai pegawai diplomatik yang sebelum itu dicadangkan untuk dihantar sebagai duta ke Indonesia.

Sementara itu ketika dihubungi, anggota MKT Umno, Razlan Rafii, berkata dia tidak pasti sekiranya ada keputusan terbaru parti berhubung penggantungan Tajuddin.

"Bukan Tajuddin dipecat tetapi yang saya dengar dia digantung keahliannya selama enam tahun atau dua penggal, namun apa keputusan yang terbaru saya tak pasti sebab tiada apa-apa dibincangkan dalam MKT.

"Saya nampak hari itu dia masih lagi menghadiri mesyuarat dan merasmikan mesyuarat Pemuda, Puteri dan Wanita Umno.

"Saya rasa dia masih ketua bahagian," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 1995, Tajuddin digantung keahliannya daripada Umno berikutan dakwaan dia membayar RM6 juta untuk mendapatkan jawatan sebagai ketua bahagian.

Keahliannya dikembalikan tiga tahun kemudian.