Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pendakwaan bantah permohonan semakan Bung Moktar, isteri

Pihak pendakwaan akan memfailkan bantahan awal terhadap permohonan semakan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya dalam kes rasuah RM2.8 juta mereka.

Timbalan pendakwa raya Law Chin How memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, kertas itu akan difailkan lewat hari ini.

Prosiding di hadapan pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid hari ini adalah untuk sebutan mengenai permohonan pasangan suami isteri terbabit untuk membatalkan keputusan mahkamah rendah bagi mereka membela diri dalam kes rasuah membabitkan dana Felcra Bhd.

“Kami ingin membangkitkan bantahan awal mengenai cara semakan.

“Kami berhujah bahawa cara semakan itu tidak sepatutnya dilakukan melalui notis usul mengikut Seksyen 35 dan 36 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Seksyen 325 dan 326 Kanun Tatacara Jenayah,” kata Law.

Dia menambah cara itu adalah salah kerana menghilangkan kuasa budi bicara mahkamah sama ada untuk mendengar perkara tersebut atau tidak.

Law juga memberitahu mereka akan memberikan butiran lanjut dalam permohonan rasmi apabila difailkan kemudian.

Sebagai tindak balas, peguam Bung Moktar, M Athimulan, berkata pihaknya perlu terlebih dahulu melihat bantahan awal bertulis rasmi untuk memutuskan cara bertindak balas terhadapnya.

Peguam K Kumaraendran yang mewakili isteri Bung, Zizie Izette Abdul Samad, turut bersetuju dengan Athimulan.

Azhar kemudian menetapkan 11 Nov ini untuk sebutan pemakluman status bantahan awal kepada mahkamah serta jawapan pasangan itu terhadapnya.

Pada 2 Sep lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memutuskan Bung Moktar dan Zizie perlu menjawab pertuduhan rasuah berhubung pelaburan unit amanah berjumlah RM2.8 juta.

Hakim Rozina Ayob berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pasangan itu.

Dia juga memutuskan percanggahan dalam keterangan saksi pendakwaan ke-24 dan ke-25 adalah tidak material dan tidak memberi kesan kepada pertuduhan yang dihadapi pasangan itu.

Saksi ke-24 ialah ejen Public Mutual Madhi Abdul Hamid, manakala saksi ke-25 ialah perunding unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar.

Rozina berkata selepas mempertimbangkan keseluruhan keterangan kedua-dua saksi material serta keterangan lain serta hujahan lisan dan bertulis daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie unsur-unsur pertuduhan terhadap Bung Moktar dan Zizie.

[Baca berita penuh]