Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sungai Melaka di Langkawi melebihi tahap bahaya

Paras air di stesen Sungai Melaka di Padang Matsirat berketinggian 3.48m telah melebihi tahap bahaya (3.4m) sebanyak 0.08m, maklum Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Dr Zaini Ujang meminta orang ramai menyemak laman web rasmi MyPublic Infobanjir.

"Mohon berhati-hati penduduk di sekitar kawasan air sungai yang masih pada aras bahaya, dan hujan masih atau diramalkan lebat," katanya pada kenyataan di media sosial.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada di Perlis dan Kedah iaitu di Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Padang Terap yang berkuatkuasa sehingga esok.

Awal malam ini, air Sungai Melaka di Langkawi dilaporkan mengalir deras dan melimpah ke rumah penduduk sekitar Kampung Atas serta Pasar Awam Padang Mat Sirat di Mukim Padang Mat Sirat.

Hujan lebat serta angin kencang yang melanda Pulau Langkawi sejak semalam mengakibatkan banjir yang menjejaskan enam kampung di lima mukim.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapten (PA) Shahfikri Darus berkata kejadian itu turut menyebabkan pokok tumbang dan tanah runtuh di beberapa kawasan.

Selain itu, lebih 40 pendaki yang terperangkap pagi tadi susulan kejadian ‘kepala air’ di kawasan peranginan air terjun Telaga Tujuh telah berjaya diselamatkan pihak berkuasa.