Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Isu Kg Sungai Baru: 'Esok lusa' tak mustahil giliran kita - Pemuda PH

Pemuda PH berharap kes pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru di Kampung Baru akan menjadi pengajaran kepada rakyat bahawa tidak mustahil ia berlaku kepada mereka.

Dalam sidang media hari ini, Timbalan Ketua Pemuda PH Hasbie Muda berkata kes itu sepatutnya menjadi isu nasional kerana ia kali pertama pemilik yang memiliki geran tanah terpaksa mengosongkan tanah mereka di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

"Kita nak isu di Kampung Sungai Baru ini jadi isu nasional yang diangkat dan diperjuang anak muda seluruh negara.

"Ini pengambilan tanah pertama (dari pemilik) yang bergerann mereka pemilik sah. Kita lihat ini sebagai pencabulan hak.

"Dan ia bukan untuk kepentingan strategik negara, tetapi kepentingan komersial pemaju. Orang yang sudah duduk berpuluh tahun, (tanah mereka) diambil untuk kepentingan pemaju," katanya yang juga ketua pemuda Amanah.

“Kalau sekarang penduduk Kampung Sungai Baru yang kena, tak mustahil esok lusa mak ayah kita di negeri lain yang kena,” katanya lagi.

Hasbie Muda

Menurut laporan terdahulu, proses pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru bermula sejak 2016, melibatkan 67 unit rumah tewas dan 14 Pangsapuri Sungai Baru.

Pada Julai tahun lalu, penduduk diberi notis di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 yang mengarahkan mereka akan menerima wang pampasan dan perlu mengosongkan premis.

Namun, ada penduduk, terutama pemilik rumah teres, dilaporkan tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur, iaitu sebanyak RM400 bagi setiap kaki persegi.

Sementara itu, seorang wakil penduduk, Roziah Yusof berkata dia hanya akan menerima RM200,000 yang menurutnya tidak cukup untuk membeli rumah yang baru.

"Saya tak bekerja, saya sakit dan selalu ulang alik ke hospital...Ini tanah saya, tanah pusaka dan sudah lebih 50 tahun saya duduk di sini.

"Saya diarah pindah pada Disember ini. Perasaan sedih disuruh keluar dengan pampasan yang sedikit.

"Dengan RM200,000, mana ada rumah harga itu sekarang. Mana kita nak duduk, nak cari rumah?" katanya sambil menangis.