Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

5,000 anggota polis K'tan ditugaskan untuk PRU15

Seramai 5,000 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pengundi di Kelantan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak dibubarkan penugasan anggota dan pengawainya tetap sama seperti PRU sebelum ini.

"Kita bersedia menempatkan anggota dan pegawai mengikut garis panduan yang ditetapkan Bukit Aman.

"Apa daya sekalipun kita akan menggunakan apa yang kita ada bagi menghadapi PRU15 selain mendapatkan bantuan khidmat Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi mengawal lalu lintas dan pergerakan pengundi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Prihatin Bantuan Peralatan Kesihatan Warga dan Pesara PDRM yang dirasmikan Pengerusi PBLT Sdn Bhd Tan Sri Dr Mazlan Lazim di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, semalam.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata pihaknya yakin jumlah pegawai dan anggota yang ditugaskan nanti dapat memastikan keselamatan orang ramai serta pengundi.

"Pengundi atau parti yang bertanding dinasihatkan agar mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Tindakan akan diambil sekiranya mereka melakukan sebarang rusuhan atau pelanggaran undang-undang," katanya.

- Bernama