Suasana PRU15 sama dengan PRU 2018, kata Mahathir
Dr Mahathir Mohamad berkata wujud persamaan suasana apabila kerajaan mempersiapkan orang ramai untuk menyertai pilihan raya umum (PRU) kali ini dengan apa yang berlaku pada 2018.
Menjelaskan hal itu, bekas perdana menteri terbabit berkata, apa yang berlaku ialah langkah diambil kerajaan yang cenderung untuk menyukarkan pengundi, sekali gus memastikan peratusan yang keluar rendah.
Keadaan sebegitu, katanya, akan memberi kelebihan kepada BN.
"Tindakan Umno mendesak supaya pilihan raya diadakan pada musim hujan dan banjir ini bertujuan untuk memastikan peratusan pengundi yang keluar rendah.
"Strategi ini tidak ada beza dengan apa yang Umno-BN buat pada PRU 2018 yang memastikan (hari) mengundi diadakan pada hari Rabu," kata Pengerusi Pejuang itu melalui catatan media sosial malam tadi.
Pun begitu, kata penyandang kerusi parlimen Langkawi tersebut menegaskan, strategi yang dicaturkan itu gagal mencapai matlamat yang diinginkan BN.
Hal itu kerana, kata Mahathir, pada 2018 rakyat bangkit untuk keluar mengundi beramai-ramai dan peratusan pengundi yang terlibat begitu tinggi.
Untuk rekod, tidak seperti kebiasaannya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi untuk PRU ke-14 diadakan pada Rabu (9 Mei) berbanding hujung minggu atau hari cuti umum.
Ia mengundang kemarahan ramai orang termasuk dalam kalangan pengundi di luar negara sehingga menyaksikan pelbagai inisiatif digerakkan bagi memudahkan proses pengundian dapat disertai mereka.
Pada masa sama kerajaan sementara ketika itu mengumumkan tarikh tersebut sebagai cuti umum.
Data SPR menunjukkan kadar keluar mengundi pada hari tersebut ialah 82.32 peratus.
PRU ke-14 diadakan ketika presiden Umno ketika itu, Najib Razak, berdepan dengan isu skandal 1MDB dan pada masa sama pembangkang membentuk persefahaman rasmi.
Apabila keputusan diumumkan, BN kalah buat pertama kali dalam sejarah dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan baru. Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 10 Mei.
Kata Mahathir, kebangkitan beramai-ramai pengundi pada 2018 membolehkan pemerintahan kleptorasi dijatuhkan.
"Kali ini, dengan pilihan raya diadakan ketika musim tengkujuh atau monsun, mereka (BN) sekali lagi berharap peratusan keluar mengundi rendah dan dengan itu akan berjaya memastikan kleptokrat kembali memerintah.
"Saya yakin rakyat Malaysia tidak mahu kleptokrat kembali memerintah.
"Rakyat akan dapat menyekat kembalinya kleptokrat dengan keluar mengundi beramai-ramai (pada PRU ke-15 nanti)," katanya.
Di sebalik kenyataan tersebut, Mahathir juga pernah membubarkan parlimen pada akhir tahun dan melakukannya tidak lama selepas belanjawan dibentangkan di Dewan Rakyat.
Ia berlaku pada 1999 iaitu semasa Mahathir menjadi perdana menteri kali pertama. PRU ke-10 itu dilangsungkan pada 29 Nov.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai