Umno mungkin pertaruh Razlan cabar Fahmi di Lembah Pantai
Lembah Pantai dilihat antara kerusi Parlimen yang akan menjadi tumpuan dalam PRU15.
Fahmi yang merupakan ketua penerangan PKR dijangka akan mempertahankan kerusi itu dan antara nama yang disebut-sebut akan mencabarnya adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Razlan Rafii.
Seorang sumber Umno memberitahu Malaysiakini bahawa nama Razlan ada dalam senarai calon Umno bagi PRU15.
"Nama Razlan ada dalam senarai calon PRU15 dan akan bertanding bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai melawan Fahmi Fadzil dari PKR," katanya ringkas.
Dalam perkembangan berkaitan, laporan Free Malaysia Today memetik sumber sebagai berkata ada kemungkinan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan akan menjadi calon Perikatan Nasional (PN) di kawasan itu, selain di Parlimen Jerlun.
“Bila dekat pilihan raya umum (PRU)…pembahagian kerusi itu berlaku pantas dan tidak semestinya buat kempen dekat kawasan dia (Kubang Pasu), akan dapat kerusi itu…ada beberapa ketua bahagian (Bersatu) mencalonkan Wan Saiful untuk bertanding di Jerlun dan Lembah Pantai,” kata sumber itu seperti dipetik.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan menentukan tarikh penting bagi PRU15 pada 20 Oktober ini.
Setakat ini, Umno masih dalam proses memutuskan senarai calon yang akan bertanding dan ia dijangka akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, PKR akan memuktamadkan calon yang akan bertanding selewat-lewatnya pada 19 Oktober, sehari sebelum SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.
Lembah Pantai menyaksikan beberapa pemimpin utama Umno tumbang di tangan PKR dalam beberapa PRU lalu.
Pada 2008, Nurul Izzah Anwar yang pertama kali bertanding pada masa itu menewaskan Shahrizal Abdul Jalil dengan majoriti 2,895 undi.
Pada PRU seterusnya, Umno meletakkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar ketika itu, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin namun tewas di tangan Nurul Izzah dengan perbezaan 1,847 undi.
Pada PRU lalu, Raja Nong Chik sekali lagi tewas, kali ini di tangan Fahmi, dengan majoriti lebih besar iaitu 5,598 undi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai