Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri PN hanya mahu aibkan PM, BN, kata presiden Umno

Tindakan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) yang mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong supaya tidak memperkenankan pembubaran Parlimen sehinggalah musim banjir berakhir sebagai sengaja mahu mengaibkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika mereka tidak bersetuju dengan pembubaran Dewan Rakyat, perkara itu boleh dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet tanpa perlu menghantar surat kepada Istana Negara dan dihebahkan kepada khalayak ramai.

“Ternyata tindakan ini adalah niat jahat musuh BN untuk mengaibkan perdana menteri dari BN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook yang bertajuk “Musuh BN lempar masalah, BN mangsa”.

Zahid mengulas kenyataan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin yang menafikan tindakan menteri PN menghantar surat kepada Agong punca perdana menteri terpaksa membubarkan Parlimen.

Mengulas lanjut, Zahid mengakui bahawa tindakan menteri PN menghantar surat itu bukanlah satu-satunya sebab utama berlaku pembubaran Parlimen sebaliknya banyak lagi perkara yang mencetuskannya.

“Parti beliau (Muhyiddin) juga menuntut jawatan timbalan perdana menteri dan mendedahkan perjanjian persefahaman beliau, sedangkan Bersatu sudah ada jawatan menteri kanan, menteri-menteri dan jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Tuntutan jawatan tersebut tidak sensitif dengan situasi pemulihan ekonomi negara dan dasar jimat cermat negara. Sebaliknya Bersatu asyik memikirkan mengenai jawatan, pangkat dan kedudukan sahaja,” katanya.

Selain itu, dakwanya, Muhyiddin juga pernah mengancam untuk menarik sokongan kepada Ismail Sabri.

“Muhyiddin pernah mengancam untuk menekan butang menarik sokongan terhadap kepimpinan Ismail Sabri.

“Kali kedua, apabila secara terbuka Muhyiddin juga selaku pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyatakan perdana menteri gagal menguruskan negara dan ekonomi dengan baik.

“Sedangkan beliau sendiri merupakan pengerusi MPN, pemimpin Bersatu sendiri menteri hal ehwal ekonomi. Malah Muhyiddin menyarankan agar parlimen dibubarkan atas kegagalan tersebut,” katanya sambil menambah bahawa Muhyiddin cuba menafikan kenyataannya sendiri.

Justeru, menurut Zahid, tindak-tanduk 12 menteri PN sekali gus mencetuskan isu ketidakpercayaan terhadap kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

“Sudah pasti perdana menteri boleh sahaja memecat 12 menteri tersebut. Namun ini akan membawa krisis yang lebih besar, parah dan memalukan pentadbiran negara. Ia juga akan melibatkan undi tidak percaya dan sebagainya.

“Maka, jalan terbaik untuk berdepan dengan kerenah ahli kabinet tidak berdisiplin ini ialah perdana menteri pergi mengadap Yang di-Pertuan Agong dan memohon perkenan baginda untuk membubarkan Parlimen.

“Ini sesuai juga bagi mengembalikan mandat kepada rakyat, yang sebelum ini ramai yang melompat parti, menjawab cabaran Muhyiddin untuk bubar Parlimen, dan memastikan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara tidak terganggu pada masa akan datang,” katanya.