Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Amirudin: PH akan calonkan muka baru di Gombak, Ampang

Pengerusi PH Selangor Amirudin Shar berkata muka baru akan diletakkan sebagai calon di kerusi Parlimen Gombak dan Ampang dalam PRU15.

Ia di sebalik spekulasi bahawa Presiden PKR Anwar Ibrahim mungkin akan bertanding di salah satu kerusi itu setelah dia berkata sedia untuk bertanding di kawasan yang disandang "pengkhianat" PH.

“Malam tadi telah ada perbincangan (berhubung calon), kita akan tampilkan muka baharu dan juga calon muda untuk menambah variasi dan juga kekuatan presentation PKR dan PH,” kata Amirudin seperti dipetik Bernama, hari ini.

Selain Parlimen Gombak dan Ampang, timbul juga spekulasi Anwar akan bertanding di Tambun, kerusi yang disandang Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Pada akhir September lalu, Anwar berkata dia belum memutuskan kawasan yang akan ditandinginya.

"Secara jujur saya belum ada pilihan lagi (Parlimen) untuk ditandingi tapi dalam pertimbangan adalah kerusi pengkhianat (PKR dan PH)...misalnya jika parti kata bertanding di Gombak (Parlimen) saya bertanding di situ,” katanya.

Ahli Parlimen yang keluar PKR dan sertai Bersatu ialah Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).