‘Kami akan panggil Zeti jawab tuduhan Jho Low sering lawat’
BICARA 1MDB l Pasukan peguam Najib Razak mendakwa mereka mempunyai maklumat yang boleh dipercayai bahawa ahli perniagaan buruan Low Taek Jho (Jho Low) sering melawat gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz ketika itu.
Susulan itu, pihak pendakwaan berkata bahawa mereka akan memanggil Zeti untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan untuk menjawab pertuduhan itu.
Pertikaman lidah antara peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah dan timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram berlaku semasa perbicaraan kes rasuah RM2.28 bilion 1MDB terhadap Najib.
Ketika Najib memerhatikan dari kandang tertuduh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi, Shafee pada mulanya menyoal balas bekas pengarah urusan AmBank Cheah Tek Kuang sama ada dia pernah melawat rumah Zeti atau tidak.
Cheah, yang adalah saksi pendakwaan ke-39, memberi keterangan bahawa dia pernah mengunjungi rumah gabenor BNM ketika itu semasa dia mengadakan rumah terbuka di Bukit Tunku di Kuala Lumpur sempena majlis sambutan Hari Raya,
Shafee: Adakah kamu nampak Jho Low pada bila-bila masa di rumahnya?
Cheah: Tidak, tidak.
Shafee: Saya mempunyai maklumat yang boleh dipercayai untuk mencadangkan bahawa Jho Low sering berkunjung ke rumah Zeti.
Cheah: Saya tidak tahu langsung.
Pada ketika ini, Sri Ram membangkitkan bantahan terhadap cara soalan Shafee dikemukakan.
"Kami akan panggil Zeti (untuk berikan keterangan). Jadi, persoalan ini boleh dibangkitkan kepadanya. Dia (Zeti) ada jawapannya. Kami akan panggil dia," kata pendakwa raya itu kepada mahkamah.
Pemeriksaan balas Shafee kemudiannya tertumpu kepada Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) RM5 bilion yang dikeluarkan pada 2009 oleh Terengganu Investment Authority (TIA) yang kemudiannya dijenamakan semula sebagai 1MDB.
Prosiding di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah juga ditetapkan untuk diteruskan esok serta Khamis minggu ini.
Sebelum ini, pasukan peguam Najib pernah melakukan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan jika keluarga Zeti mempunyai peranan dalam kes 1MDB dengan mengenali Low.
Minggu lalu, Cheah memberitahu Mahkamah Tinggi, bahawa Zeti mengetahui tentang akaun Najib akan menerima sumbangan AS$100 juta daripada Arab Saudi pada 2011.
Katanya, dalam pertemuan itu, Zeti mengambil maklum mengenai perkara itu dan memintanya supaya ia perlu dilakukan mengikut peraturan bank dan BNM sedia ada.
Najib, 69, berdepan dengan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai