Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KLSCAH cadang tempoh kempen dilanjut 3 minggu

Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melanjutkan tempoh berkempen PRU15 kepada tiga minggu.

Menurut KLSCAH, ia bagi memberi lebih banyak masa kepada semua parti politik untuk memilih calon terbaik dan bersedia untuk pilihan raya.

Pada masa sama, kata KLSCAH, kedua-dua pengundi di dalam dan luar negara ada cukup masa bagi menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengundi.

Kumpulan itu turut mengemukakan tiga cadangan mengapa tempoh tiga minggu berkempen tersebut diperlukan, iaitu bermula dengan meneliti proses pengundian di luar negara.

“(Dengan lanjutan tempoh) pengundi di luar negara akan mempunyai lebih banyak masa untuk menghantar undi mereka ke Malaysia, dan dapat mengelakkan daripada kehilangan hak mereka untuk mengundi kerana kelewatan penghantaran undi.

“Selain itu, SPR harus mempertimbangkan kemungkinan untuk membenarkan pengundi di luar negara yang layak mengundi, memuat turun kerta undi mereka secara digital daripada laman web rasminya, untuk memudahkan prosedur permohonan undi pos di luar negara, dan untuk menjimatkan perbelanjaan pilihan raya untuk mencetak kertas undi pos," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut KLSCAH lagi, pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik juga akan meningkatkan jumlah pengundi yang layak dalam jumlah yang banyak, iaitu sekitar 5.8 juta orang.

"Dengan peningkatan jumlah pengundi daripada 15.8 juta kepada 21.1 juta, kerajaan akan menghadapi lonjakan pengundi yang ketara.

"Menurut statistik, jumlah pengundi baru dijangka meningkat secara purata 10,000 hingga 50,000 pengundi (di keseluruhan 222 kerusi parlimen).

"Oleh itu, melanjutkan tempoh berkempen akan membantu SPR membuat persediaan menghadapi lonjakan keluar mengundi. Pada masa sama, kakitangan bertugas dan kehadiran polis yang mencukupi dapat memastikan pilihan raya dijalankan dengan lebih berkesan,” kata kumpulan itu.

Cadangan ketiga yang dikemukakan KLSCAH ialah untuk menggunakan pusat mengundi khusus untuk pengundi luar daerah (outstation).

Memberi contoh kira-kira sejumlah 500,000 penduduk Sabah dan Sarawak yang bekerja atau belajar di semenanjung, KLSCAH menjelaskan SPR juga perlu menubuhkan pusat pengundian khas di setiap kawasan untuk memproses undi di luar daerah tersebut.

[Baca berita asal]