Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pahang tubuh Jk Pembangunan Lipis Geopark

Kerajaan negeri Pahang menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Lipis Geopark dalam usaha mencapai sasaran menjadikan daerah yang menempatkan ibu negeri pertama Pahang sebagai tapak Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) Global Geopark.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata cadangan pembangunan Lipis Geopark telah dimasukkan dalam Rancangan Tempatan Daerah Lipis 2020 dan beberapa cadangan projek berimpak tinggi dalam Rancangan Struktur Negeri Pahang 2050.

Kerajaan negeri menerusi Taman Negeri Pahang, juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Jabatan Mineral dan Geosains, Jawatankuasa Geopark Kebangsaan dan pemegang taruh yang lain bagi penubuhan jawatankuasa itu.

"Sebagai prasyarat untuk menjadikan Unesco Global Geopark, daerah itu perlu terlebih dahulu mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Geopark Kebangsaan.

"(Sehubungan itu) jawatankuasa ini berfungsi sebagai penggerak kepada semua usaha pembangunan, penyelidikan, pemuliharaan, promosi dan penyediaan dokumen yang diperlukan bagi mendapat pengiktirafan Unesco Global Geopark," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mustapa Long (BN-Padang Tengku) yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri ke arah merealisasikan daerah Lipis sebagai Unesco Global Geopark.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankusa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff memaklumkan daripada 381 infrastruktur telekomunikasi yang terjejas akibat banjir pada hujung tahun 2021 dan awal tahun ini, hanya 18 sahaja ditenggelami air.

"Justeru, sebagai persediaan akan datang, kerja-kerja membina platform yang lebih tinggi untuk menempatkan peralatan elektronik telah dimulakan di 18 lokasi terlibat dengan setakat ini, 12 daripadanya telah selesai manakala bakinya dijadual siap dalam masa terdekat," katanya.

Mohammad Fakhruddin menjawab soalan Mohd Sharim Md Zain (BN-Chini) yang ingin tahu persedian kerajaan negeri menghadapi musim banjir akan datang setelah sistem telekomunikasi terganggu semasa banjir.

Beliau juga berkata punca utama gangguan kepada sistem komunikasi semasa banjir ialah disebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memutuskan bekalan elektrik atas sebab keselamatan apabila paras air semakan naik.

- Bernama